Enam bulan berjauhan, tak sangka anak pulang sebagai jenazah - Bapa

7 Aug 2026 • 4:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Enam bulan berjauhan, tak sangka anak pulang sebagai jenazah - Bapa
Ismarubee (kiri) bersama isteri, Nor Azila ketika ditemui di rumahnya di Felda Kerteh 2, Dungun pada Jumaat.
Image from: Enam bulan berjauhan, tak sangka anak pulang sebagai jenazah - Bapa
Allhayarham Muhammad Raimi

DUNGUN – "Tak sangka penantian lebih enam bulan untuk bertemu akhirnya menjadi saat menyedihkan apabila dia pulang sebagai jenazah."

​Demikian kata Ismarubee Ismail, 51, bapa kepada salah seorang anggota polis yang maut bersama dua lagi rakan akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Weston, Beaufort, Sabah.

Menurut Ismarubee, anaknya, Lans Koperal Muhammad Raimi, 24, sebelum ini beberapa kali menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman, namun menangguhkan hajatnya disebabkan menunggu tiket penerbangan yang berpatutan dan tarikh bersesuaian.

**media[3608047]**

​"Kali terakhir dia balik sini bulan Januari lepas sebab ada kenduri kahwin sepupu. Kemudian dia beritahu nak balik bulan lepas, tapi harga tiket penerbangan masa itu agak mahal dan dia beritahu nak balik bulan ini.

"Kali ini, betullah dia pulang, tapi sebagai jenazah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Kerteh 2 di sini pada Jumaat.

​Sinar Harian pada Khamis melaporkan Muhammad Raimi bersama dua rakannya yang bertugas di Balai Polis Weston iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, maut, dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi sepanjang 29 kaki yang digunakan untuk mengait buah kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.

​Ismarubee berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu mula berkhidmat di Balai Polis Weston pada September 2024.

​Katanya, dia dan isteri, Nor Azila Zakaria, 46, terkejut apabila salah seorang rakan anaknya membuat panggilan video dan memberitahu kejadian menimpa Muhammad Raimi kira-kira jam 6 petang, Khamis.

​"Pada awalnya kami ragu-ragu kerana ketika rakannya membuat panggilan video, kami tak nampak wajah anak kami, kami hanya nampak tiga lelaki terbaring di atas tanah.

​"Lagipun, baru sahaja jam 2 petang sebelum kejadian itu, kami bersembang dengan Muhammad Raimi melalui WhatsApp. Bila salah seorang anggota polis hubungi kami dan mengesahkan itu anak kami, barulah kami percaya," katanya.

​Sementara itu, Nor Azila berkata, Muhammad Raimi turut bercadang untuk bertunang dengan kenalan wanitanya yang berasal dari Sabah pada tahun hadapan.

​"Muhammad Raimi beritahu dia mahu tunggu adik bongsunya selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum dia berumah tangga kerana dia nak beri tumpuan dahulu kepada adiknya.

​"Dia anak yang baik, apa sahaja keperluan pelajaran adiknya seperti laptop juga dibelinya dan dia turut mengirim duit untuk kami dan adiknya," katanya.

​Keluarga itu kini sedang menunggu proses bedah siasat selesai dilakukan sebelum jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 2, pada Jumaat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved