3 polis maut: Tangguh balik kampung, Raimi akhirnya bakal ‘pulang’ sebagai jenazah

7 Aug 2026 • 2:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 3 polis maut: Tangguh balik kampung, Raimi akhirnya bakal ‘pulang’ sebagai jenazah

DUNGUN – Ibu bapa Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 24, tidak menyangka hasrat anak mereka untuk pulang ke kampung halaman yang tertangguh lebih setengah tahun akhirnya tercapai namun sebagai jenazah.

Ismarubee Ismail, 51, berkata anaknya, Muhammad Raimi yang maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengait kelapa di Weston, Beaufort, Sabah, semalam sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk pulang menjenguk dia dan isteri, Nor Azila Zakaria, 46, di Felda Kerteh 2, di sini.

“Kali terakhir dia (Muhammad Raimi) berpeluang pulang ke kampung pada Januari lalu untuk menghadiri kenduri perkahwinan sepupunya.

“Selepas itu, dia tidak dapat pulang ke kampung termasuk pada Aidilfitri dan Adiladha. Selain kekangan jadual tugas, hasrat itu terpaksa ditangguhkan kerana tidak dapat memperolehi harga tiket penerbangan yang lebih berpatutan,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Felda Kerteh 2, di sini hari ini.

Terdahulu Muhammad Raimi bersama dua rakan setugasnya di Balai Polis Weston iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40 dan Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik, kelmarin.

Insiden pada pukul 5.50 petang semalam itu dikatakan berlaku ketika mereka sedang mengalihkan galah besi sepanjang 8.84 meter yang digunakan untuk mengait buah kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.

Ismarubee berkata, Muhammad Raimi pernah memberitahu baru-baru ini dia bercadang pulang pada masa terdekat namun dia dan isteri tidak menyangka kepulangan anak mereka itu hanyalah sebagai jenazah.

Katanya, dia bagai tidak percaya anak keduanya daripada tiga beradik itu meninggal dunia kurang empat jam selepas mereka saling berhubung menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp pada pukul 2 petang. – KOSMO! ONLINE

The post 3 polis maut: Tangguh balik kampung, Raimi akhirnya bakal ‘pulang’ sebagai jenazah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved