Enam daerah mula menua, Kelantan pula dominasi populasi muda

7 Oct 2026 • 11:41 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Enam daerah mula menua, Kelantan pula dominasi populasi muda
Menurut DOSM, data bagi 2025 hingga 2026 merujuk kepada anggaran penduduk pertengahan tahun berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, manakala hasil tambah mungkin berbeza disebabkan pembundaran. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Sebanyak enam daerah dikenal pasti sebagai daerah menua baharu pada tahun ini, berdasarkan Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran, 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Enam daerah berkenaan ialah Port Dickson, Negeri Sembilan dengan komposisi penduduk berusia 65 tahun ke atas sebanyak 7.3 peratus, diikuti Besut, Terengganu dan Melaka Tengah, Melaka, masing-masing 7.2 peratus.

Turut tersenarai ialah Lipis, Pahang; Kudat, Sabah dan Keningau, Sabah, yang masing-masing merekodkan komposisi 7.0 peratus.

Dalam pada itu, Sarawak mendominasi tiga daerah dengan komposisi penduduk berusia 65 tahun ke atas tertinggi pada 2026.

Lubok Antu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 16.2 peratus, diikuti Lingga (15.2 peratus) dan Pantu (15.0 peratus).

Trend sama turut direkodkan bagi kumpulan penduduk berusia 60 tahun ke atas, apabila Lubok Antu mencatatkan 23.1 peratus, diikuti Lingga 20.7 peratus dan Saratok 20.6 peratus.

Bagi umur penengah tertinggi, Lubok Antu turut berada di tempat pertama dengan 38.9 tahun, diikuti Saratok 38.2 tahun dan Lingga 36.6 tahun.

Bagaimanapun, pola demografi berbeza ketara di Kelantan apabila negeri itu mendominasi senarai daerah dengan komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun tertinggi.

Gua Musang mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 31.8 peratus, diikuti Tumpat (31.2 peratus) dan Lojing (31.0 peratus).

Data itu memperlihatkan perbezaan struktur umur yang ketara antara daerah di Malaysia, dengan sesetengah kawasan menunjukkan komposisi penduduk yang semakin berusia, manakala kawasan lain masih mempunyai kelompok penduduk muda yang besar.

Sementara itu, Lojing turut mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk tahunan tertinggi, iaitu 2.1 peratus, diikuti Gedong, Sarawak sebanyak 2.0 peratus dan Daro, Sarawak sebanyak 1.8 peratus.

Menurut DOSM, data bagi 2025 hingga 2026 merujuk kepada anggaran penduduk pertengahan tahun berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, manakala hasil tambah mungkin berbeza disebabkan pembundaran.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved