Enam hari operasi, JPJ keluar 33,402 notis kesalahan

LocalPolitics
24 Mar 2026 • 8:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aedy Fadly (empat dari kanan) ketika meninjau bilik operasi rakaman kamera litar tertutup aliran trafik Lebuh Raya Utara Selatan di Pusat Kawalan Menora, Ipoh sempena Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026.

IPOH – [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 33,402 notis kesalahan dalam tempoh enam hari Operasi Hari Raya Aidilfitri 2026 dilaksanakan sejak 16 Mac lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penguatkuasaan tersebut hasil pemeriksaan ke atas 172,479 kenderaan di seluruh negara melibatkan pelbagai kategori termasuk kenderaan persendirian, motosikal, kenderaan barangan, pengangkutan awam dan bas.

Menurutnya, dalam tempoh sama, sebanyak 14,455 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan yang dikesan sepanjang operasi berlangsung.

"Notis dikeluarkan ini adalah melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk notis JPJ(P)22, notis arah periksa serta notis temu siasat mengikut Seksyen 114.

"Selain itu, sebanyak 1,651 slip pemeriksaan turut dikeluarkan, manakala 289 kenderaan disita termasuk 43 kenderaan barangan kerana tidak mematuhi larangan pemanduan (roadban) yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pusat Kawalan Menora, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, berdasarkan statistik semasa, sebanyak 2,566 kesalahan utama dikesan sepanjang operasi dengan kesalahan paling tinggi direkodkan adalah tidak memakai tali pinggang keledar dengan 761 kes, diikuti membawa lebih muatan (353 kes) serta tidak mematuhi isyarat lampu merah (317 kes).

Katanya, kesalahan lain direkodkan termasuklah menggunakan telefon bimbit semasa memandu (207 kes), memandu di lorong kecemasan (124 kes) serta memotong di garisan berkembar sebanyak 81 kes.

"Analisis mengikut negeri menunjukkan Johor merekodkan kesalahan tertinggi iaitu 881 kes, diikuti Pahang (264) dan Perak (207).

"Kita akan terus memperkasa penguatkuasaan ini bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan serta tahap pematuhan pengguna jalan raya sepanjang tempoh musim perayaan ini," katanya.