JPJ gantung tugas dua anggota, janji siasatan telus isu potong double line

LocalPolitics
23 Mar 2026 • 11:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aedy Fadly (dua dari kiri) meneliti paparan rakaman kamera litar tertutup aliran trafik Lebuh Raya Utara Selatan di Pusat Kawalan Menora, Ipoh sempena Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026.
image is not available
Aedy Fadly bercakap kepada pemberita pada Isnin.

IPOH - Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung tugas susulan video tular kenderaan jabatan itu melanggar garisan berkembar dalam kejadian di Jeli, Kelantan, minggu lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan penggantungan itu diambil bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan secara telus tanpa sebarang campur tangan.

"Kita telah ambil tindakan penggantungan tugas terhadap anggota yang terlibat dalam kes melanggar garisan berkembar itu.

"Kita beri jaminan kepada orang awam bahawa siasatan dalaman ini dilaksanakan secara telus dan kita tidak akan melindungi mana-mana anggota atau pegawai yang melakukan kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pusat Kawalan Menora di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

**media[3470384]**

Aedy Fadly berkata, berdasarkan siasatan, kes berkenaan berlaku di Kilometer 129 berhampiran Hentian Damai Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Jeli sekitar jam 3 petang pada 19 Mac lalu.

"Kita telah menghantar pasukan untuk menjalankan siasatan dalaman dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan insiden kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi yang mengorbankan satu nyawa di Kilometer 85.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli pada Jumaat lalu adalah melibatkan kenderaan dan anggota JPJ sama.

Bagaimanapun katanya, insiden berkenaan berlaku pada hari dan lokasi yang berbeza.

"Kita sahkan kenderaan dan anggota adalah sama, tetapi kejadian berlaku pada hari yang berbeza.

"Yang tular melibatkan pelanggaran garisan berkembar itu berlaku sehari sebelum kemalangan," katanya.

Aedy Fadly menjelaskan, siasatan bagi video pelanggaran garisan berkembar akan dikendalikan oleh JPJ, manakala kes kemalangan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita minta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kedua-dua kejadian tersebut kerana ia melibatkan situasi dan masa yang berbeza," katanya.