Enam hilang ketika mendaki: 14 malim gunung terlibat operasi SAR

7 Sep 2026 • 12:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Enam hilang ketika mendaki: 14 malim gunung terlibat operasi SAR
Muzafar berkata, seramai 14 Malim Gunung Perhutanan (MGP) digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam individu yang dilaporkan hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing.

IPOH – Seramai 14 Malim Gunung Perhutanan (MGP) digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam individu yang dilaporkan hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, di sini pada 29 Ogos lalu.

Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad berkata, kekuatan itu membabitkan MGP dari Perak dan Kelantan.

Menurutnya, pasukan MGP terbabit digerakkan menggunakan tiga kenderaan pacuan empat roda (4X4) bagi menyertai operasi SAR berkenaan.

Bomba Kelantan siap siaga bantu SAR enam pendaki hilang di Lojing

"Memang pagi ini (Isnin) kita sudah masuk dengan tiga buah 4X4 dengan kekuatan 14 MGP.

"Enam MGP adalah dari Perak, manakala lapan lagi dari Kelantan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Muzafar berkata, penglibatan MGP dari kedua-dua negeri itu penting berikutan laluan masuk dan keluar bagi operasi berkenaan melibatkan kawasan Kelantan dan Perak.

Katanya, berdasarkan prasyarat ditetapkan, MGP dari negeri berkenaan perlu terlibat sekiranya laluan pendakian memasuki kawasan Kelantan sebelum keluar ke Perak.

"Memang MGP terlibat secara langsung dalam operasi kali ini. Buat masa ini belum ada perkembangan baharu berhubung penemuan enam individu terbabit.

"Setakat ini, pergerakan pasukan MGP adalah bagi membantu usaha pencarian dan mereka sudah masuk ke kawasan operasi," katanya.

Semalam media melaporkan pasukan menyelamat sedang mengumpul maklumat lengkap berhubung kejadian berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 6.31 petang Ahad.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan enam individu termasuk empat ahli keluarga dan dua malim gunung itu daripada ahli keluarga kumpulan berkenaan.

Ahli keluarga mangsa yang berada di Selangor memaklumkan kehilangan itu selepas empat individu terbabit gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan pada 3 September.

Choon Foo berkata, hasil semakan dengan Jabatan Perhutanan mendapati hubungan terakhir dengan kumpulan itu menunjukkan mereka berada di kawasan hutan Perak sebelum hubungan terputus.

Beliau berkata, kumpulan itu memasuki hutan melalui Pos Dakoh dan dijadualkan keluar di Pos Kemar, Perak.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved