
PUTRAJAYA – Enam ikhtiar diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mempunyai potensi dalam memberi nilai politik tambahan kepada kerajaan khususnya ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian
berkata, ini kerana manfaat diumumkan itu merentasi pelbagai lapisan masyarakat termasuk B40 dan M40 selain ibu bapa, pelajar, golongan muda, peniaga kecil hingga pengguna perkhidmatan kesihatan awam.
Katanya, tindakan itu memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menterjemahkan agenda reformasi, penjimatan dan anti-rasuah kepada sesuatu yang boleh dirasai rakyat.
“Rakyat mahu melihat bukan sahaja reformasi di peringkat dasar, tetapi bagaimana hasil daripada pengurusan yang lebih cekap akhirnya kembali kepada mereka.
“Pada masa sama, enam ikhtiar ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar. Kemampuan kerajaan memberi manfaat kepada rakyat bergantung kepada kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi, disiplin fiskal dan keupayaan mengurangkan ketirisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Minggu lalu, ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan, Anwar mengumumkan enam ikhtiar utama berhubung kelayakan Budi95 dan langganan percuma selama tiga bulan bagi aplikasi AI terpilih kepada 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun.
Anwar turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan semua aliran sekolah bagi 2027 dinaikkan 50 peratus kepada RM1.5 bilion selain Geran Sejahtera Madani RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang berniaga dari rumah.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, apabila ekonomi berkembang dan pengurusan negara lebih berkesan, ruang fiskal untuk membantu rakyat juga menjadi lebih besar.
Namun, beliau tidak melihat pengumuman ini secara automatik sebagai jaminan sokongan dalam PRU16.
Jelasnya, ia hanya akan menjadi modal politik yang kukuh sekiranya rakyat benar-benar merasai manfaatnya secara berterusan.
“Dalam pilihan raya, pengumuman boleh menarik perhatian, tetapi pengalaman rakyat terhadap keberkesanan pentadbiran akhirnya yang menentukan sokongan.
“Enam ikhtiar ini mungkin belum menjadi undi, tetapi ia memberi Perdana Menteri peluang untuk menukar hasil pentadbiran menjadi pengalaman rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Enam ikhtiar PM potensi manfaat rakyat menjelang PRU16 appeared first on Kosmo Digital.




