
KUALA LUMPUR: DAP dijangka sukar mengambil keputusan untuk meninggalkan kerajaan kerana langkah itu berisiko mencetuskan ketidakstabilan politik selain membuka kemungkinan pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.
Penganalisis Politik, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, potensi DAP untuk keluar daripada kerajaan adalah rendah kerana parti itu sendiri belum tentu memperoleh keuntungan politik.
“Keluar kerajaan akan membawa risiko ketidakstabilan dan mungkin mempercepatkan PRU, sedangkan DAP sendiri belum tentu mendapat keuntungan daripada pilihan raya awal.
“Lebih munasabah untuk DAP kekal tetapi mengambil pendirian lebih kritikal dan autonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berakhir dengan keputusan memihak kepada BN apabila berjaya memenangi 18 kerusi selain tujuh lagi kerusi daripada PN menjadikan kedua-duanya boleh membentuk kerajaan dengan 25 kerusi.
PH pula yang menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan selama dua penggal hanya memiliki 11 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi yang dipertandingkan.
Keputusan itu menjadi kekalahan kedua PH selepas PRN Johor, sekali gus memberi tekanan kepada gabungan tersebut menjelang PRU akan datang.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming mendakwa keputusan PRN Negeri Sembilan berpotensi mempengaruhi perbahasan dalam Kongres Khas DAP yang dijadualkan berlangsung pada 18 Ogos, termasuk cadangan supaya wakil parti itu melepaskan jawatan dalam Kabinet.
Tambah Kian Ming, sekiranya ia berlaku, BN mungkin akan mengorak langkah untuk memaksa Perdana Menteri membubarkan Parlimen lebih awal.
“Keputusan PRN Negeri Sembilan telah meningkatkan kemungkinan bahawa wakil DAP di Kongres Khas yang akan berlangsung pada 18 Ogos akan mengundi supaya Menteri dan Timbalan Menteri DAP letak jawatan masing-masing tetapi masih lagi sokong kerajaan Madani sebagai backbencher.
“Jikalau ini berlaku, BN mungkin akan mengorak langkah untuk memaksa Perdana Menteri membubar Parlimen lebih awal misalnya dengan peletakan jawatan kesemua Menteri BN,” katanya.-UTUSAN
The post DAP berdepan risiko jika keluar kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.






