PKTAAB berpotensi jadi pusat rujukan kanser terunggul di rantau ASEAN

LocalHealth & Fitness
22 Aug 2026 • 5:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PKTAAB berpotensi jadi pusat rujukan kanser terunggul di rantau ASEAN

KEPALA BATAS : Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini mempunyai potensi yang besar untuk berkembang sebagai pusat rujukan kanser terunggul di rantau ini dengan gabungan kepakaran, infrastruktur, teknologi, penyelidikan serta pendidikan yang dimilikinya ketika ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ketika ini juga, PKTAAB bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah pusat rawatan, tetapi, menjadi manifestasi kepada komitmen negara untuk memperkukuh ekosistem kanser melalui ilmu, inovasi, kepakaran dan nilai ihsan.

Zambry berkata, PKTAAB yang sinonim sebagai antara pusat rujukan rawatan berkaitan kanser lidah turut mempunyai kepakaran dalam merawat beberapa kanser lain serta sering menerima pesakit termasuk dari luar negara khususnya dari negara-negara ASEAN.

“Saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang menarik kerana universiti ternama seperti USM telah pun berada di peringkat pusat penyelidikan dalam bidang perubatan.

“Selain memberikan perkhidmatan rawatan kepada rakyat, mereka juga menjadi pusat rujukan kepada pihak lain termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya selepas merasmikan pusat kanser di Bertam di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, PKTAAB akan menggunakan teknologi baharu yang canggih seperti mesin ‘Radiative Hyperthermia’ serta Linear Accelerator (LINAC) EVO dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menjalankan rawatan terhadap pesakit mereka.

Katanya, penggunaan teknologi-teknologi itu bersama radioterapi adaptif, brakiterapi berketepatan tinggi dan hipertermia terapeutik dijangka meningkatkan ketepatan rawatan, mengurangkan risiko komplikasi serta memperkukuh keupayaan PKTAAB menawarkan rawatan kanser setanding pusat perubatan terkemuka dunia.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus meneliti keperluan pembangunan fasa seterusnya supaya pusat kanser ini dapat berkembang sebagai pusat rujukan yang bukan sahaja dalam rawatan, malah, sebagai lokasi penyelidikan dan latihan akademik berkaitan kanser,” ujar beliau.

Terdahulu, Zambry memberitahu, penggunaan nama Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai nama baharu untuk pusat kanser itu bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap jasa pemimpin terbabit, tetapi, menjadi amanah dan inspirasi kepada seluruh warga PKTAAB untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.-UTUSAN

The post PKTAAB berpotensi jadi pusat rujukan kanser terunggul di rantau ASEAN appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved