
SHAH ALAM, 31 OGOS: Enam ikhtiar segera yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, disifatkan sebagai langkah langsung bagi menangani tekanan kos sara hidup yang diterima hasil maklum balas rakyat.
Pakar Ekonomi Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata langkah tersebut dilihat bermotifkan kepentingan rakyat untuk jangka panjang dan kestabilan ekonomi, bukannya sekadar strategi politik atau untuk meraih populariti semata-mata.

“Kalau kita tengok, apa yang diumumkan kerajaan, apa sahaja yang dilaksanakan adalah berdasarkan situasi ekonomi semasa. Di situ saya lihat bahawa, jika ada kemampuan memberi lebih banyak peruntukan subsidi, maka ia akan dibuat.
“Di situ saya nampak, keputusan bukan dibuat semata-mata untuk populariti kerana sekarang bukan pilihan raya umum (PRU) pun. Tetapi lebih kepada, jika kerajaan mampu maka kerajaan akan beri.
“Ia juga untuk pastikan rakyat dapat berjimat, tidak perlu bayar lebih bagi harga diesel dan petrol,” katanya kepada Media Selangor, hari ini.
Meski konflik di Selat Hormuz masih belum selesai sepenuhnya, Ahmed Razman menjelaskan, pelbagai faktor mempengaruhi usaha mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan.

Menurutnya, kerajaan dilihat memiliki keupayaan kewangan untuk meningkatkan jumlah agihan tunai bulanan bergantung kepada kutipan hasil negara dan penjimatan sebenar yang diperoleh daripada pelaksanaan subsidi bersasar.
“Banyak faktor yang boleh pengaruhi harga minyak. Sebagai contoh kita ada rizab minyak dan kemampuan untuk tanggung subsidi rakyat. Jika harga minyak naik, kerajaan juga akan terima lebihan hasil.
“Kalau kita lihat banyak barang asas di Malaysia juga masih rendah melalui harga kawalan seperti beras, minyak masak, dan lain-lain. Jika ada kemampuan, apa salahnya untuk kekalkan atau tambah peruntukan diesel dan petrol,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmed Razman turut memuji inisiatif pembiayaan mikro dan geran kepada peniaga kecil serta pelaksanaan ambang e-invois kepada RM3 juta yang berupaya mengurangkan beban kos operasi dan pematuhan bagi peniaga kecil.
Beliau yang juga Pengarah Program MBA Putra Business School berkata, usaha itu dapat menyokong usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan mereka sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, dan memacu inovasi dalam pasaran tempatan.

“Itu semua saya lihat, ia dibuat berdasarkan maklum balas rakyat dan peniaga kerana ramai yang mengadu sukar untuk menguruskan e-invois. Bagi peruntukan tambahan itu, ia bagi memastikan impak kos sara hidup tidak membebankan rakyat,” katanya.
Anwar semalam mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi pelajar, golongan muda serta peniaga kecil dan sederhana, yang kesemuanya berkuat kuasa mulai 1 September 2026.
Enam ikhtiar segera tersebut merangkumi mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan, peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 akan ditingkatkan 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, program AI untuk Rakyat terbuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.
Selain itu, ikhtiar segera itu turut mencakupi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam meliputi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan ketersambungan Internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam, serta menaikkan ambang pengecualian e-Invois sekali lagi daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
Kerajaan juga akan menambah kemudahan pembiayaan mikro RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion serta memperkenalkan Geran Sejahtera Madani RM200 juta.





![[INFOGRAFIK] PM umum enam ikhtiar untuk rakyat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/30/3631402.webp)
