Enam individu dituduh culik warga Singapura

21 Aug 2026 • 2:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Enam individu dituduh culik warga Singapura

JOHOR BAHRU: Enam individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menculik, menyamun, mengurung serta mencederakan sepasang kekasih warga Singapura, awal bulan ini.

Di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, kesemua tertuduh iaitu M. Balamurugan, 46; K. Sarawanan, 40; P. Sri Devi, 41; G. Puganeswaran, 41; S. Gobinath, 38; dan X. Adwin Nicholas, 41, mengaku tidak bersalah menculik seorang lelaki Singapura untuk mendapatkan wang tebusan SGD20,000 (RM63,703.64).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah gereja di Jalan Orkid 36, Taman Sri Orkid, Skudai kira-kira pukul 2 petang pada 8 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, di hadapan Majistret A. Shaarmini, kesemua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan secara bersama-sama telah melarikan seorang wanita Singapura, Zaylen Zayraelle Xie Manting, dengan niat untuk menyebabkan penama tersebut dikurung secara rahsia dan secara salah.

Perbuatan itu dilakukan di Pangsapuri Skudai Villa, Jalan Aman, Taman Skudai Baru, Skudai, di sini antara pukul 2 petang pada 8 Ogos dan di beberapa lokasi sekitar daerah Johor Bahru hingga 11 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Madihah Zainol, tiga tertuduh iaitu Balamurugan, Sarawanan dan Gobinath turut mengaku tidak bersalah melakukan samun berkumpulan membabitkan seutas rantai leher emas dan jam tangan Rolex di dalam sebuah kereta di daerah Johor Bahru pada 8 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Ketiga-tiga mahkamah kemudian membenarkan jaminan terhadap Sri Devi, Adwin Nicholas dan Puganeswaran dengan jumlah keseluruhan RM60,000 setiap seorang manakala Balamurugam, Saravanan dan Gobinath sebanyak RM69,000 setiap seorang dengan penjamin tempatan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 23 September depan untuk sebutan kes dan lantikan peguam.

Dalam satu lagi prosiding, Majistret Nurzihan Abdul Rehman menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 setiap seorang terhadap Sarawanan dan Puganeswaran selepas mengaku salah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa lelaki dengan menggunakan sebilah pisau.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Taman Skudai Baru, Skudai antara pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari, 11 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kesemua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Deana Aqilah Aliman, R. Nevina dan Eizlan Azhar. – UTUSAN

The post Enam individu dituduh culik warga Singapura appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved