Culik Pasangan Singapura, 6 Warga Tempatan Didakwa

21 Aug 2026 • 8:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Culik Pasangan Singapura, 6 Warga Tempatan Didakwa

JOHOR BAHRU - Enam rakyat Malaysia, termasuk seorang wanita, didakwa di beberapa mahkamah di Johor atas pelbagai kesalahan termasuk penculikan, mengurung secara salah, samun berkumpulan serta menyebabkan kecederaan terhadap sepasang suami isteri dari Singapura awal bulan ini.

Mereka ialah M Balamurugam, 46; K Saravanan, 40; P Sri Devi, 41; G Puganeswaran, 38; S Gobinath, 38; dan X Adwin Nicholas, 41.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Dalam pertuduhan pertama, keenam-enam mereka didakwa bersama-sama menculik Al-Shameer B Abdul Nassar dengan niat menuntut wang tebusan sebanyak S$20,000 (RM63,000).

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 2 petang 8 Ogos lalu di luar sebuah gereja di No. 22, Jalan Orkid, Skudai.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R Nevina tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan serta status pertuduhan berkenaan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam K Veeranesh yang mewakili Sri Devi memohon supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan alasan wanita itu tidak bekerja dan mempunyai enam anak berusia antara satu hingga 22 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan keenam-enam tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat supaya mereka tidak menghubungi atau mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan. 

Kesemua tertuduh juga diarah melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Madihah Zainol, Balamurugam, Saravanan dan Gobinath turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan samun berkumpulan membabitkan rantai emas dan jam tangan Rolex milik mangsa yang sama.

Kesalahan itu didakwa berlaku dalam sebuah kenderaan di kawasan Johor Bahru Utara kira-kira jam 2 petang pada 8 Ogos lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Walaupun pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan tersebut tidak boleh dijamin, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000.

Sementara itu, di hadapan Majistret A Shaarmini, kesemua enam tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menculik seorang wanita Singapura, Zaylen Zayraelle Xie Manting, dengan niat mengurungnya secara rahsia dan salah.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di Blok C-03-06, Pangsapuri Skudai Villa, Jalan Aman, Taman Skudai Baru, serta beberapa lokasi lain antara 8 hingga 11 Ogos lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin serta mengarahkan Sri Devi, Gobinath dan Saravanan menyerahkan pasport mereka.

Dalam prosiding lain di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman, Saravanan dan Puganeswaran pula mengaku bersalah kerana menyebabkan kecederaan terhadap Al-Shameer Abdul Nassar menggunakan pisau di pangsapuri yang sama antara jam 10 pagi hingga 1 petang pada 11 Ogos lalu.

Kedua-dua mereka masing-masing didenda RM3,000 mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 23 September sebagai tarikh sebutan semula bagi kes-kes berkenaan. - Getaran, 21 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved