
JOHOR BAHRU – Enam individu termasuk seorang wanita didakwa di dua mahkamah di sini hari ini atas empat pertuduhan membabitkan kes menculik, samun, mengurung dan mencederakan sepasang kekasih warga Singapura awal bulan ini.
Di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, tertuduh M. Balamurugan, 46, K. Sarawanan, 40, P. Sri Devi, 41, G. Puganeswaran, 41, S. Gobinath, 38, dan X. Adwin Nicholas, 41, mengaku tidak bersalah menculik seorang lelaki Singapura bagi mendapatkan wang tebusan SG$20,000 (RM63,703.64).
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah gereja di Jalan Orkid 36, Taman Sri Orkid, Skudai kira-kira pukul 2 petang, 8 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin selain mengarahkan mereka menyerahkan pasport, tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan melapor diri setiap bulan di balai polis.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Madihah Zainol, tiga tertuduh iaitu Balamurugan, Sarawanan dan Gobinath turut mengaku tidak bersalah melakukan samun secara berkumpulan membabitkan seutas rantai emas dan jam tangan Rolex.
Kesalahan dilakukan di dalam sebuah kereta di daerah Johor Bahru Utara pada 8 Ogos lalu. Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh turut didakwa di hadapan Majistret A. Shaarmini kerana menculik dengan mengurung secara rahsia seorang wanita Singapura di sebuah pangsapuri di Taman Skudai Baru pada 11 Ogos lalu mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Dalam satu prosiding berasingan, Sarawanan dan Puganeswaran mengaku bersalah mencederakan mangsa lelaki dengan menggunakan pisau di pangsapuri sama antara pukul 10 pagi dan 1 tengah hari, 11 Ogos lalu.
Kedua-dua mereka didenda RM3,000 setiap seorang mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34. Mereka diarah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Kesemua mahkamah menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE
The post 6 individu didakwa culik, kurung, samun pasangan kekasih Singapura appeared first on Kosmo Digital.






