PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Enam lelaki dan tiga wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Yunaa sejak tahun lalu.
Mereka ialah Tham Yong Zhi, 34; Mohammad Joshua Salman, 21; Seah Joon Kiat, 43; Lai Kok Hoe, 38; Mohamed Amirul Mohamed Razali, 24; dan Mohd Amrul Naim Mohd Asbie Syaifullah Abdullah, 18.
Tiga wanita yang turut didakwa ialah Aiman Muna Mohamed Razali, 20; Nur Suhada Benjamin Abdullah, 23; dan Nuraslinda Natasha Hanafi, 20.
Semua tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
**media[3686828]**
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu di sebuah kediaman servis di sini antara Januari 2025 hingga 25 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail berkata, pertuduhan berkenaan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.
Beliau yang hadir bersama seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainaa Ridzwan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes.
Peguam, Kailash Sharma hadir mewakili Seah Joon Kiat, manakala Kelvin Francis mewakili Tham Yong Zhi dan Lai Kok Hoe.
Tertuduh lain tidak diwakili peguam.
Syahliza tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, polis berjaya menumpaskan 'Geng Yunaa' yang disyaki terbabit dalam 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seks menerusi Ops Angel di Lembah Klang pada 24 hingga 26 September lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, dalam operasi itu, tujuh individu berusia 18 hingga 44 tahun ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga Jumaat.
Beliau berkata, dua lagi ahli kumpulan itu ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka atas kesalahan sama.
Beliau berkata, tangkapan itu membolehkan polis menyelesaikan 17 kes dan melumpuhkan satu kumpulan jenayah terancang di Selangor.






