Enam Pelajar Direman, Remaja Tingkatan Tiga Trauma Selepas Dibuli

LocalFamily & Parenting
20 Aug 2025 • 3:41 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang pelajar tingkatan tiga berusia 15 tahun cedera dan trauma selepas dipercayai menjadi mangsa buli oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di sini kelmarin.

Menurut laporan Kosmo! mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 2.55 petang semalam selepas mendakwa ditumbuk, disiku di kepala serta ditendang di bahagian punggung. Lebih memalukan, salah seorang suspek turut melondehkan seluar sukan yang dipakai mangsa sehingga paras lutut.

image is not available

Foto: Kosmo!

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan enam pelajar berusia 16 tahun yang kemudian direman enam hari bermula hari ini.

“Kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu. Mangsa kini mengalami sakit di kepala dan dalam masa sama berasa takut serta trauma untuk ke sekolah kerana sering diganggu suspek sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah melalui komunikasi, dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sementara itu, seorang wanita yang mendakwa sebagai ibu saudara mangsa mendedahkan kejadian itu di Facebook.

Dalam hantarannya, dia menceritakan anak saudaranya turut hampir dijerut dengan dawai sebelum seorang guru sempat melalui lokasi berkenaan dan menghentikan perbuatan suspek.

image is not available

“Kalau cikgu tak lalu ketika itu, mungkin anak saudara saya sudah mati di tangan pembuli. Malamnya pula, keluarga suspek datang ke rumah orang tua saya meminta kami menarik balik laporan.

“Mereka baru tingkatan empat, tapi sudah sanggup buat begini. Bayangkan bila mereka dewasa nanti, lagi bahaya kalau tidak dikenakan tindakan undang-undang,” tulisnya.

Kejadian itu mendapat perhatian warganet yang mengecam tindakan suspek dan menyuarakan kebimbangan terhadap isu buli sekolah yang kerap berlaku.

Sumber: Kosmo! (Muhammad Aiman Ghaffa)