
KUALA LUMPUR – Seorang pelajar tingkatan tiga cedera selepas dipercayai dibelasah, ditarik seluarnya dan hampir dicekik menggunakan wayar oleh sekumpulan pelajar di sebuah sekolah di Pasir Mas, Kelantan, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi membabitkan enam pelajar tingkatan empat yang dikatakan menjadi dalang insiden berkenaan, sebelum ia disedari seorang guru yang kebetulan melalui kawasan itu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, ibu saudara mangsa mendakwa anak saudaranya ditampar, ditendang dan dipukul, sebelum seluarnya ditarik hingga ke paras lutut.
Lebih buruk, apabila leher mangsa hampir dijerut dengan wayar sebelum tindakan itu sempat dihentikan.
“Anak saudara saya ditendang, ditumbuk, dipukul, ditampar, seluarnya ditarik hingga ke lutut dan lehernya hampir dijerut dengan wayar.
“Kalau tiada guru yang lalu di situ, mungkin anak saudara saya sudah mati di tangan pembuli,” katanya.
Menurutnya, keluarga enam pembuli tersebut telah datang ke rumah untuk memohon agar pihak kami menarik semula kes tersebut.
“Saya mohon supaya keluarga pembuli tidak memaksa anak saudara saya menarik balik laporan.
“Semua pembuli ini masih di Tingkatan Empat, tetapi sudah mampu berfikir dan bertindak sampai tahap ini. Bagaimana pula bila mereka berusia 20 tahun nanti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau berkata, susulan insiden berkenaan, polis telah menahan enam pelajar berusia 16 tahun dan proses reman dijalankan pagi tadi.
Polis dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat. - Getaran, 20 Ogos 2025



