
PETALING JAYA – Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi menyambung keterangan berhubung dakwaan salah guna kuasa pembelian saham dua syarikat perladangan berjumlah RM370 juta.
Rakaman percakapan itu dijalankan di Ibu Pejabat SPRM di sini dan berlangsung selama lebih enam jam.
Bagaimanapun, hanya bekas CFO yang berbuat demikian, manakala bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat sama tidak hadir atas faktor kesihatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, bekas pegawai kanan itu tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Hari ini merupakan hari ketiga rakaman percakapan individu ini diambil selepas dibebaskan semalam. Proses ini selesai kira-kira pukul 5 petang.
“Ia bagi melengkapkan siasatan hasil penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, rakaman percakapan terhadap individu tersebut akan disambung pada pukul 10 pagi esok. – KOSMO! ONLINE
The post RCI Tabung Haji: Bekas CFO beri keterangan lebih enam jam, bersambung esok appeared first on Kosmo Digital.






