Enam pendaki hilang dipercayai sudah lepasi Gunung Bieh Bilah

7 Sep 2026 • 12:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Enam pendaki hilang dipercayai sudah lepasi Gunung Bieh Bilah

GUA MUSANG: Polis sudah mengenal pasti semua identiti pendaki termasuk empat sekeluarga dari Yong Peng, Johor dan dua malin gunung yang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi ketika menyertai pendakian Gunung Trans Gerah di Hutan Simpan Kekal Lojing, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, empat sekeluarga terbabit adalah pasangan suami isteri, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan Siti Zulaiha Norizan, 39, bersama dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9.

Katanya, dua lagi yang terlibat adalah malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 44, dari Dabong, Kuala Krai.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dijalankan oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bersama agensi berkaitan dari Perak bagi mengesan kumpulan terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Choon Foo berkata, polis kini bersiap siaga bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) kumpulan enam pendaki berkenaan.

“Kita bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Malim Gunung Perhutanan Kelantan kini bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa,” ujarnya.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersedia menggerakkan pasukan bantuan sekiranya diperlukan.

Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, berdasarkan maklumat diterima semalam, kumpulan pendaki terbabit dipercayai sudah melepasi Gunung Bieh Bilah yang terletak di kawasan Perak pada 1 September lalu.

Katanya, buat masa ini, pihaknya berada dalam keadaan siap siaga sementara menunggu arahan lanjut daripada JBPM Perak sekiranya bantuan diperlukan.

“Sekiranya terdapat petunjuk kumpulan pendaki terbabit berpatah balik dan memasuki semula kawasan Kelantan, kita bersedia untuk memberikan bantuan.

“Buat masa ini, kita menunggu arahan daripada pihak JBPM Perak dan terus memantau perkembangan operasi. Seramai empat anggota pasukan STORM, empat anggota bomba Gua Musang dan enam malim gunung dari Gua Musang kini ditempatkan di balai bomba berkenaan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. – UTUSAN

 

The post Enam pendaki hilang dipercayai sudah lepasi Gunung Bieh Bilah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved