Enam rumah terbakar di tiga daerah

20 Mar 2025 • 10:08 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Clarence Dol, Mardinah Jikur, Ahmad Apong

RANAU: Tiga keluarga di Kg Kinasaraban Baru, di sini kehilangan tempat tinggal dan harta benda selepas rumah mereka musnah pada Selasa malam.

Ketua Balai Bomba Ranau, PPgB Ridwan Mohd Taib berkata, kejadian berlaku di Jalan Lohan Ranau pada jam 2 petang.

“Setibanya di lokasi 11km dari balai, kami mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah. Sebuah rumah separuh kekal dua tingkat berukuran 40x50 kaki terbakar 90 peratus.

“Rumah separuh kekal kedua bersaiz 30x30 kaki terbakar 30 peratus, manakala rumah kekal ketiga berukuran 20x20 kaki terbakar 10 peratus,” katanya.

Menurut Ridwan, untuk sebarang kecemasan atau perkhidmatan khas Bomba, orang ramai boleh menghubungi Bomba Ranau di talian 088-878779, atau talian hotline 019-2449348 atau mendail 999.

Beliau berkata, setiap anggota bomba dan penyelamat di daerah ini bersiap siaga bertindak terhadap sebarang kejadian kebakaran di daerah ini memandangkan keadaan berisiko tinggi ketika ini.

Di SANDAKAN, sebuah rumah terbakar di Taman Fajar Perdana, pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.16 petang menerusi talian MERS999.

14 anggota bersama dua jentera dan pasukan perawatan (EMRS) dikerah ke lokasi sejauh 8km dari balai.

Katanya, operasi terkawal pada jam 5.44 petang dan ditamatkan pada jam 6.50 petang.

Ketika kejadian penghuni tidak berada di rumah dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Di SIPITANG, seorang lelaki berumur 30 tahun cedera ringan apabila kakinya melecur dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Babangkong Mesapol, pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.12 malam melalui panggilan MERS999 dan mengerahkan satu pasukan bersama jentera FRT dan kenderaan EMRS ke lokasi.

Pasukan tiba pada 9.21 malam dan memulakan operasi.

Operasi terkawal pada jam 9.56 malam dan ditamatkan pada jam 11.40 malam.

Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.