
SANDAKAN: Tiga rumah papan di perkampungan atas laut, Kampung Sim-Sim mengalami kerosakan akibat kejadian puting beliung pada petang Isnin.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima aduan dari penduduk kampung pada jam 4.15 petang.
Menurut pengadu, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 3.30 petang dan mengakibatkan tiga rumah papan iaitu Lot 87 dan Lot 79A di Jambatan 5 serta Lot 65 di Jambatan 4.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sandakan, Kapten Pertahanan Awam Sulaiman Salama berkata, setibanya di tempat kejadian anggota APMM memantau dan memeriksa kejadian yang berlaku.
“Kami dapati tiada kemalangan jiwa yang berlaku, namun terdapat kerosakan harta benda akibat puting beliung.
“Pasukan pemantauan telah menasihati penduduk kampung sekitar untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.
Melalui tinjauan, rumah Lot 65 mengalami kerosakan teruk pada dapur rumah dan diarahkan berpindah ke rumah keluarga terdekat buat sementara waktu bagi menjaga keselamatan nyawa mereka.
Manakala rumah Lot 87 dan Lot 79A mengalami kerosakan pada atap rumah di bahagian balkoni mereka.


