
LAHAD DATU: Sebuah rumah atas air musnah manakala dua lagi rumah mengalami kerosakan separa dalam kebakaran di Kampung Desa Bajau, di sini, pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.37 petang.
Susulan itu, enam anggota bersama sebuah jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pasukan itu berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.55 petang sebelum api dipadam sepenuhnya pada jam 5.33 petang.
Sebuah rumah musnah 100 peratus, manakala dua rumah lain mengalami kerosakan sebanyak 10 peratus.
Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.


