Enam suspek kes culik minta tebusan RM7 juta dituduh esok

26 Jul 2026 • 2:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Enam suspek kes culik minta tebusan RM7 juta dituduh esok
M Kumar

KUALA LUMPUR - Enam lelaki akan dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Isnin berhubung kes penculikan melibatkan wang tebusan RM7 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara pada Jumaat lepas dan menerima arahan pertuduhan.

Menurutnya, seramai enam suspek lelaki tempatan dituduh di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu menculik untuk wang tebusan.

"Jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara tidak kurang dari 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebat.

"Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Seksyen pada jam 9.30 pagi, 27 Julai (Isnin)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, dua lagi suspek tempatan termasuk seorang wanita dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan dengan mengikat bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi komitmen bahawa tindakan berterusan akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti jenayah terutamanya jenayah kekerasan bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat.

"PDRM juga menyeru masyarakat agar konsisten bekerjasama menyalurkan maklumat dalam membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang menjadi mangsa culik berjaya diselamatkan polis dalam tempoh 24 jam selepas dilarikan sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta di Petaling Jaya 17 Julai lalu.

Mangsa diselamatkan menerusi operasi khas JSJ di sebuah unit kediaman di Shah Alam pada jam 1 pagi.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved