Culik tebusan RM7 juta: Enam bakal didakwa, dua jadi saksi pendakwaan

26 Jul 2026 • 2:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Culik tebusan RM7 juta: Enam bakal didakwa, dua jadi saksi pendakwaan

PETALING JAYA – Enam lelaki tempatan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, esok atas pertuduhan menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan sebanyak RM7 juta dalam kejadian, di sini pada 17 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, siasatan terhadap lapan individu yang ditahan berhubung kes berkenaan telah selesai dijalankan.

Menurut Kumar, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara Jumaat lalu, sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan.

“Seramai enam suspek lelaki tempatan akan dituduh di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu kesalahan menculik untuk wang tebusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pertuduhan terhadap keenam-enam suspek dijadualkan berlangsung di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada pukul 9.30 pagi, esok.

Dalam perkembangan sama, dua lagi suspek iaitu seorang wanita dan seorang lelaki tempatan telah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan selepas diikat bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Sebelum ini, media melaporkan enam individu ditahan selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan RM7 juta.

Kumar berkata, polis menerima laporan berhubung penculikan itu daripada isteri mangsa pada 17 Julai lalu dan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah unit kediaman di i-City, Shah Alam, Selangor sekitar pukul 1 pagi keesokan harinya.

Enam individu yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun.

Dua lagi suspek iaitu lelaki tempatan termasuk seorang bekas anggota polis berusia 30-an yang disyaki terlibat, ditahan di sekitar Selangor pada 21 Julai lalu.

Pasukan polis kemudian menahan mangsa dalam kes berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Kumar berkata, penahanan itu susulan siasatan lanjut dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan elemen pengedaran dadah. – KOSMO! ONLINE

The post Culik tebusan RM7 juta: Enam bakal didakwa, dua jadi saksi pendakwaan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved