
PUTRAJAYA, 26 NOV: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan membentangkan laporan penuh berhubung kes penyeludupan dadah membabitkan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Jemaah Menteri esok.
Saifuddin Nasution berkata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Khaled Nordin juga dijangka memberikan taklimat kepada Kabinet bagi membolehkan kerajaan meneliti secara menyeluruh implikasi insiden itu, khususnya terhadap keselamatan aset dan lokasi strategik negara.
"Biasanya kalau ada satu isu yang begini magnitud seriusnya, menteri-menteri yang berkaitan akan diminta untuk memberikan taklimat. Taklimat kepada Kabinet adalah yang sangat telus.
"Bahagian saya, tentunya saya akan tumpukan kepada apa pengajaran daripada peristiwa ini sebab dia memberikan kesan yang serius, antaranya soal kepercayaan rakyat terhadap tahap keselamatan dan lokasi strategik kerana kawasan terlibat adalah kawasan larangan," katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Beliau berkata KDN sebelum ini melaksanakan 17 inisiatif penambahbaikan keselamatan dalam tiga fasa susulan insiden membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines, namun langkah berkenaan belum merangkumi lokasi strategik ketenteraan.
"Jadi sekarang, apakah ada keperluan untuk kita melihat liputan kawalan dan langkah keselamatan lebih rapi diperluas kepada premis seperti ini? Jawapannya, ya.
"Kita akan perhalusi perkara ini, termasuk pembahagian tugas dengan Kementerian Pertahanan memandangkan pihak tentera mempunyai autoriti utama di premis berkenaan," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata siasatan polis berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan tidak menolak kemungkinan tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekiranya terdapat elemen jenayah terancang.
Beliau berkata insiden itu perlu dipandang serius kerana membabitkan aset keselamatan, lokasi strategik negara serta anggota tentera yang menjalani latihan dan disiplin ketat.






