SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan penyertaan enam tokoh masyarakat ke dalam parti itu.
Beliau berkata, antaranya ialah bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan merangkap bekas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Sirajuddin Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Kemanusiaan (HDF), Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee; dan pakar perunding bedah telinga, hidung dan tekak di Avisena Specialist Hospital, Profesor Datuk Dr Ahmad Khusyairi Khalid.
Selain itu, bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Noor; bekas Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Muhammad Najmi Samsudin; serta aktivis anak muda dan masyarakat, Iskandar Khoo Kuan Yiaw.
Ujar beliau, pemilihan yang dibuat berdasarkan nilai kepimpinan, pengalaman luas dan jaringan kukuh yang dimiliki dalam pelbagai sektor itu diyakini mampu memperkukuh organisasi parti serta memperluas sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
"Tan Sri (Muhyiddin Yassin) jangan gundah-gulana, hilang seorang tumbuh seribu pemimpin untuk bersama parti.
"Percayalah, gabungan tenaga pemikiran yang kita zahirkan pada petang ini untuk membawa perubahan bukan sahaja di Selangor, malah kita yakin akan membawa perubahan juga di Putrajaya, insya-Allah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan resolusi konvensyen dalam Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Ahad.
Hadir sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; serta Datuk Dr Radzi Jidin.
Sebelum ini, Bersatu dilanda kemelut dalaman antara Muhyiddin dan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Larut itu, yang juga Ketua Pembangkang, dipecat keahlian parti pada 13 Februari lalu.
Beberapa pemimpin lain turut dipecat dan digantung keahlian selepas penyingkiran Hamzah termasuk bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan bekas Ketua Wanita, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Mohamed Azmin yang juga Ketua Pembangkang Selangor berkata, Bersatu Selangor turut menyatakan tekad kesediaan untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi meraih sokongan rakyat.
"Seperti yang diketahui, minggu lalu Tuanku Sultan Selangor telah mengiktiraf peranan pembangkang untuk memantau pentadbiran kerajaan ‘daun keladi’ di Selangor ini.
"Ini satu pengiktirafan yang cukup kami banggakan. Atas mandat yang diberikan oleh Presiden Bersatu, kami berikrar untuk menyumbang khidmat bakti kepada rakyat Selangor," ujarnya.





