PRU16 peluang terbaik PN rampas Selangor, tadbir semula Putrajaya - Muhyiddin

LocalPolitics
26 Apr 2026 • 7:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRU16 peluang terbaik PN rampas Selangor, tadbir semula Putrajaya - Muhyiddin
Muhyiddin menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Bersatu Selangor di IDCC Shah Alampada Ahad. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) merupakan peluang terbaik untuk Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan di Selangor dan kembali mentadbir Putrajaya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, peluang pembangkang menjadi kerajaan yang menunggu masa mengambil alih negara secara teratur kini terbuka luas.

Bagaimanapun katanya, pembangkang perlu mengambil peluang tersebut dengan membuat perubahan segera dalam tempoh terdekat ini untuk memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Hari ini mereka (rakyat) melihat satu-satunya ialah pakatan pembangkang iaitu Bersatu dan PN yang dalamnya ada Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Ini disebut berkali-kali (sebagai) kerajaan sedang menunggu masa untuk ambil alih negara secara teratur dan boleh memberikan banyak kebaikan kepada rakyat jelata.

“Persoalannya, bila masa tiba? Iaitu bila sampai masa, Parlimen dibubar, pilihan raya diadakan baik di peringkat negeri atau pun di peringkat persekutuan sekali pun.

“Kerana apa? Kerana situasi dan keadaan yang dilihat pada hari ini seperti seolah-olah tidak ada penyelesaian atau kesudahan. Jadi rakyat menunggu, hendak melihat di antara kita, apakah idea yang agak bernas yang hendak diajukan kepada mereka dalam apa bentuk sekali pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Bersatu Selangor di Pusat Konvensyen Idea (IDCC) Shah Alam di sini pada Ahad.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, untuk memastikan PN sebagai kerajaan yang sedang menunggu menjadi kenyataan, ia perlu dibuktikan dengan melaksanakan kerja bersungguh-sungguh memenangi hati rakyat.

“Kita tidak ada pilihan. Ini mungkin peluang terakhir kita, maknanya kalau kita hendak menang ini masanya untuk menang. Kalau tak menang, kita kalah.

“Ini satu-satunya masa terbaik. Kita perlu bekerja kuat dan kita akan menang seterusnya Selangor dan Malaysia,” katanya.