Alhamdulillah Bersatu telah pulih - Muhyiddin

LocalPolitics
26 Apr 2026 • 5:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Alhamdulillah Bersatu telah pulih - Muhyiddin
Muhyiddin (dua dari kiri) bersama perwakilan pada Konvensyen Bersatu Selangor di IDCC Shah Alam pada Ahad. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Image from: Alhamdulillah Bersatu telah pulih - Muhyiddin
Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Bersatu Selangor di IDCC Shah Alam pada Ahad. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri dan kawasan yang sebelum ini berdepan kemelut susulan pemecatan dan peletakan jawatan pemimpin parti kini pulih sepenuhnya.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan itu hasil tindakan bijak yang diambil barisan kepimpinan parti.

Menurutnya, langkah segera yang diambil itu membuktikan parti serius untuk mentadbir supaya parti bertambah kukuh dan kuat.

“Tindakan pantas dan cepat diambil barisan kepimpinan untuk memperbaiki dan juga menyusun semula sesetengah tempat yang terkesan (dengan kemelut), alhamdulillah ia telah pulih seperti sedia kala.

“Ini terbukti apabila majlis-majlis besar yang kita adakan seperti iftar di bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri, sambutan yang ditunjukkan bukan sahaja ahli Bersatu tetapi rakyat jelata hadir dalam jumlah yang luar biasa," katanya ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Bersatu Selangor di Pusat Konvensyen Idea (IDCC) Shah Alam di sini pada Ahad.

**media[3502910]**

Bersatu sebelum ini berdepan kemelut dalaman serius sehingga menyaksikan Timbalan Presidenya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa pimpinan tertinggi lain dipecat daripada parti.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga pengasas kepada parti itu menegaskan, pemulihan parti yang menunjukkan perkembangan positif itu secara tidak langsung menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa Bersatu akan hancur susulan kemelut berkenaan.

Sementara itu, Muhyiddin ketika sidang media menjelaskan ketika ini hampir kesemua lantikan di negeri dan bahagian yang terkesan dengan kemelut pemecatan dan peletakan jawatan pimpinan hampir selesai sepenuhnya.

“Setakat ini lantikan kebanyakkan telah selesai..hanya ada satu dua yang belum selesai. Itu pun terpencil,” katanya.