Enam warga asing ditahan, MDMA RM1.05 juta dirampas di KL

26 Nov 2026 • 8:51 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Enam warga asing ditahan, MDMA RM1.05 juta dirampas di KL

Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di dua kondominium mewah sekitar Bukit Bintang, merampas 7kg MDMA bernilai RM1.05 juta dan menahan enam warga asing.

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dan pembungkusan dadah menerusi tiga serbuan di dua kondominium mewah sekitar Bukit Bintang serta Jalan Yap Kwan Seng pada 23 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi itu berjaya merampas kira-kira 7.0 kilogram (kg) serbuk disyaki dadah jenis MDMA bernilai RM1.05 juta, 4.60 gram methamphetamine dan 13.14 gram ketamin.

Beliau berkata pihaknya menahan enam lelaki wanga asing berusia antara 27 hingga 39 tahun dan menyita beberapa telefon bimbit manakala ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan amphetamine.

“Serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat awam dengan kesemua suspek dipercayai aktif mengedar dan menyalahgunakan dadah di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Azwan berkata sindiket dipercayai menggunakan kondominium mewah dengan kawalan keselamatan ketat sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula MDMA dalam peket minuman berperisa sebelum diedarkan ke pusat hiburan sekitar ibu negara.

Beliau berkata lima suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi direman empat hari mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

“Kesemua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Dalam kes berasingan, Ahmad Azwan berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD berkenaan menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Polis New York (NYPD) menerusi serbuan di sebuah kondominium di Bukit Ceylon di sini, pada 24 Nov lepas.

Beliau berkata menerusi serbuan dengan kerjasama Cawangan Khas itu, polis menahan 11 warga asing berusia antara 22 hingga 51 tahun terdiri daripada empat warga Afrika Selatan, tiga warga Taiwan serta masing-masing seorang warga Mexico, Zimbabwe, Kenya dan India.

Ahmad Azwan berkata turut dirampas 31 telefon bimbit, tujuh komputer riba, sebuah monitor, sebuah unit pemprosesan komputer (CPU), tiga pasang pakaian menyerupai seragam polis NYPD, sebuah penghala Internet, papan logo Polis New York dan peta bandar raya New York.

“Hasil pemeriksaan forensik digital dan analisis media sosial terhadap peranti yang dirampas mendapati sindiket ini disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dengan menyamar sebagai polis New York dan menyasarkan mangsa dari Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata kesemua individu yang ditahan dipercayai berperanan sebagai operator sindiket, manakala unit kondominium itu dijadikan pusat operasi dipercayai disewa kira-kira RM15,000 sebulan.

Kesemua suspek direman selama empat hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved