
KUALA LUMPUR - Sepasang kekasih memilih untuk menjalani hukuman sebatan secara syariah berbanding dipenjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, Disember tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Syahmi Faris Latif, 25, bersama pasangannya, Hafiqah Qurratu Aini Azlan, 23, membuat keputusan tersebut kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar denda, selain mahu mengelakkan hukuman penjara.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, kemudian menjatuhkan hukuman empat kali sebatan terhadap kedua-dua tertuduh selepas pengakuan bersalah direkodkan.
Berdasarkan pertuduhan, pasangan yang bekerja sebagai pemandu lori dan pembantu restoran itu didakwa ditangkap dalam keadaan separuh bogel di tempat duduk belakang sebuah kereta, yang diparkir di belakang sebuah bangunan di daerah Marang pada jam 10.45 malam, 4 Disember 2025.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 atas kesalahan melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk persetubuhan luar nikah.
Jika sabit kesalahan, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali, atau gabungan mana-mana hukuman berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman sebatan terhadap kedua-dua tertuduh dilaksanakan di Penjara Marang pada 7 Jun depan selepas tempoh rayuan berakhir.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie daripada Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - Getaran, 17 Mei 2026





