
BRASILIA – Presiden berhaluan kiri Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva melakar kebangkitan dramatik semalam apabila memenangi pilihan raya pusingan kedua, namun pencabarnya, Senator Flavio Bolsonaro enggan menerima kekalahan dan mahu membatalkan pilihan raya tersebut.
Berikutan kemenangan Lula, Brazil telah menangkis gelombang kebangkitan parti konservatif di beberapa negara seperti Argentina, Chile, Colombia dan Peru, disokong oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Lula yang berhaluan kiri dan akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-81 hari ini, menyangkal pelbagai ramalan kekalahan untuk mentadbir Brazil bagi penggal keempat, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Menurut keputusan rasmi, beliau memperoleh 51.8 peratus undi berbanding 48.2 peratus bagi Flavio Bolsonaro, dengan Lula meraih kelebihan 4.4 juta undi.
Bolsonaro merupakan anak bekas presiden Brazil berhaluan kanan tegar, Jair Bolsonaro yang sedang menjalani hukuman penjara 27 tahun kerana cuba melakukan rampasan kuasa selepas kekalahannya kepada Lula dalam pilihan raya lalu pada tahun 2022.
Pilihan raya semalam turut dicemari kekeliruan selepas Mahkamah Agung memutuskan pengundian dilanjutkan selama dua jam walaupun beberapa pusat pembuangan undi telah pun ditutup.
Langkah itu dibuat atas permintaan Lula yang mengadu bahawa perkhidmatan bas telah ditarik balik di beberapa buah bandar, menghalang penduduk daripada keluar mengundi.
Bolsonaro juga meminta lanjutan tempoh mengundi di beberapa kawasan disebabkan hujan lebat, namun beliau menyifatkan keputusan mahkamah memihak kepada Lula sebagai ‘tidak dapat diterima’ dan ‘taktik kotor’.
“Adalah mustahil untuk mengiktiraf keputusan ini. Saya akan meminta pilihan raya ini dibatalkan,” katanya dalam ucapan ringkas di Brasilia.
Tiada calon yang kalah pada pusingan pertama pernah menang pada pusingan kedua pilihan raya presiden di Brazil sejak tahun 1989, dengan Lula pertama kali melakukannya.
Pusingan pertama pilihan raya itu menyaksikan kedua-dua calon gagal mendapat majoriti dengan Bolsonaro mengatasi Lula. – AFP
The post Enggan terima kekalahan, Bolsonaro mahu batalkan pilihan raya Brazil appeared first on Kosmo Online.






