
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan setinggi tahniah kepada sahabatnya, Presiden Luiz Inácio Lula da Silva, atas kemenangan bersejarahnya dalam pilihan raya di Brazil.
Anwar berkata, persaingan sengit ini memberikan beliau mandat baharu daripada rakyat Brazil untuk memimpin negara berkenaan.
“Komitmen beliau sepanjang hayat terhadap keadilan sosial, usaha membasmi kemiskinan serta memastikan suara negara-negara membangun didengari telah meraih penghormatan masyarakat antarabangsa, jauh melangkaui Brazil.
“Saya sentiasa menghargai persahabatan kami dan berkongsi keyakinan beliau bahawa negara-negara Selatan Global (Global South) perlu mempunyai suara yang lebih lantang dalam membentuk tatanan antarabangsa yang lebih adil,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Anwar berkata, Malaysia berharap dapat terus bekerjasama erat dengan Brazil di bawah kepimpinan Presiden Lula.
“Banyak perkara yang boleh kita usahakan bersama, termasuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan, memajukan kerjasama antara ASEAN dengan Amerika Latin serta memperkukuh lagi hubungan perkongsian antara kedua-dua negara,” katanya.
Media melaporkan, Lula memenangi pilihan raya presiden negara itu pada, menewaskan Senator berhaluan kanan, Flavio Bolsonaro dalam kebangkitan politik selepas ketinggalan pada pusingan pertama.
Menurut keputusan rasmi, Lula memperoleh 51.7 peratus undi, berbanding 48.2 peratus bagi Flavio yang juga anak kepada bekas Presiden, Jair Bolsonaro.
Kemenangan itu menjadikan Lula pemimpin pertama dalam sejarah pilihan raya langsung Brazil sejak 1989 yang tewas pada pusingan pertama tetapi berjaya memenangi pusingan kedua. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar ucap tahniah Presiden Lula menang pilihan raya Brazil appeared first on Kosmo Online.






