Warisan mahu tanding 26 kerusi pada PRU16

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 5:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Warisan mahu tanding 26 kerusi pada PRU16

SANDAKAN – Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengumumkan partinya mahu bertanding 26 kerusi bersama parti lain yang menjalin kerjasama dengan mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Insya-Allah, kita mahu 26 kerusi dan rakan parti untuk pastikan supaya kita dapat kejayaan dan suara Sabah ini lebih kuat,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan di Dewan Hakka, di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking; Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter dan Pemangku Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Lawrence Gimbang.

Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen selain Labuan daripada 222 yang dipertandingkan pada PRU akan datang.

Shafie berkata, perkara paling penting dalam menghadapi PRU ialah memastikan calon yang diketengahkan mempunyai peluang untuk menang, manakala soal pembahagian kerusi perlu mengambil kira kekuatan setiap parti.

“Tidak ada ertinya kita letak calon kalau tidak menang. Kita perlu pastikan siapa boleh menang. Saya tidak perlu bincang perkara (soal pembahagian kerusi) pada peringkat ini. Apa yang penting, siapa yang boleh menang,” katanya.

Shafie turut menegaskan kepentingan pemimpin mendekati rakyat di peringkat akar umbi dan mendengar suara mereka, bukan sekadar bergantung kepada populariti di media sosial.

Katanya, pengalaman lebih 30 tahun dalam politik mengajarnya bahawa kekuatan sesebuah parti boleh membantu menampung kelemahan parti lain, justeru kerjasama tidak seharusnya berteraskan kepentingan satu pihak semata-mata.

“Saya sudah bekerjasama dengan banyak parti dan melalui pelbagai kesilapan yang perlu kita tambah baik. Kita belajar daripada sejarah. Tanpa adanya suara dan parti yang ada di sini, kerjasama di peringkat pusat itu tidak menjadi menjadi kenyataan,” katanya.

Shafie berkata kehadiran pemimpin daripada KDM dan STAR pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan hari ini memperlihatkan kerjasama politik antara parti berkenaan menjelang PRU akan datang.

Katanya, kerjasama dengan pemimpin dua parti berkenaan berlandaskan keikhlasan dan kekuatan bersama bagi memastikan suara Sabah dapat dibawa dengan lebih berkesan ke peringkat Pusat.

The post Warisan mahu tanding 26 kerusi pada PRU16 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved