
KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Jude Bellingham meledakkan dua gol ketika England bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Norway 2-1 selepas masa tambahan, sekali gus mara ke separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Miami.
Pemain tengah Real Madrid itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 selepas penjaga gol Norway Orjan Nyland gagal menangkap kemas percubaan deras Morgan Rogers dari luar kawasan penalti.
Bellingham bertindak pantas merampas bola muntah sebelum menyudahkannya dari jarak dekat untuk membawa skuad Three Lions kendalian Thomas Tuchel mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak edisi 2018 di Rusia.
England, yang memenangi satu-satunya gelaran Piala Dunia di laman sendiri pada 1966, kini hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk menamatkan penantian selama 60 tahun bagi meraih kejuaraan kedua.
Pada aksi suku akhir itu, Norway mendahului seawal minit ke-36 menerusi Andreas Schjelderup yang melakukan penyudah menarik untuk menewaskan penjaga gol England Jordan Pickford.
Bellingham bagaimanapun menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama selepas menyambut hantaran Anthony Gordon, mencipta ruang di dalam kawasan penalti sebelum melepaskan rembatan leret yang tepat ke dalam gawang.
Norway hampir kembali di hadapan pada minit ke-53 apabila hantaran lintang Julian Ryerson menemui Erling Haaland, namun Pickford bertindak cemerlang untuk menepis tandukan deras penyerang itu keluar melepasi palang gol.
Pasukan Scandinavia itu hampir memperoleh gol kedua kira-kira dua minit kemudian apabila Torbjorn Heggem mengambil kesempatan daripada kegagalan England mengeluarkan bola hasil sepakan penjuru sebelum merembat bola ke dalam gawang.
Jaringan itu bagaimanapun dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Haaland telah menolak Elliot Anderson menggunakan kedua-dua tangannya ketika gerakan yang membawa kepada gol berkenaan.
Kedua-dua pasukan gagal memperoleh gol kemenangan dalam tempoh permainan sebenar, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan sebelum Bellingham melengkapkan kebangkitan England menerusi gol keduanya pada perlawanan itu.
England akan berdepan pemenang perlawanan suku akhir antara juara bertahan Argentina dan Switzerland.
Walaupun tewas, kejayaan mara ke suku akhir adalah antara pencapaian terbaik Norway dalam sejarah penyertaan di Piala Dunia, mengatasi rekod terbaik sebelum ini apabila mara ke pusingan 16 terbaik pada 1938 dan ketika penampilan terakhir mereka di Perancis pada 1998.



