Enproserve raih kontrak dua tahun selenggara kenderaan pengisian bahan api penerbangan milik Petronas Dagangan

22/08/2025 - 10:32
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 22 Ogos – Enproserve Group Bhd, penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan awam untuk industri minyak & gas (O&G) serta petrokimia meraih kontrak selama dua tahun daripada Petronas Dagangan Berhad untuk menyelenggara kenderaan pengisian bahan api penerbangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Enproserve berkata, kontrak tersebut berkuat kuasa 1 September dan diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Enproserve (M) Sdn Bhd, menerusi surat anugerah yang diterima pada 15 Julai lalu.
“Nilai kontrak itu akan ditentukan berdasarkan arahan kerja individu yang akan dikeluarkan sepanjang tempoh dua tahun berkenaan.
“Menerusi perjanjian tersebut, Enproserve akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan pencegahan dan pembetulan bagi aset pengisian bahan api penerbangan milik Petronas Dagangan di lapangan terbang seluruh Semenanjung Malaysia, kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Enproserve menjelaskan kontrak baharu itu sejajar dengan strategi kumpulan untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan serta meneroka sektor baharu, khususnya penerbangan, di samping mengukuhkan operasi teras dalam industri O&G dan petrokimia.
“Pengembangan strategik ini menzahirkan keupayaan kumpulan dalam memenuhi keperluan keselamatan dan operasi paling ketat.
“Penganugerahan kontrak ini, yang berasaskan rekod prestasi kukuh Enproserve selama 16 tahun sebagai penyedia perkhidmatan dipercayai kepada PETRONAS meletakkan kami dalam kedudukan untuk menyokong pengembangan operasi pengisian bahan api pesawat oleh Petronas Dagangan seiring pertumbuhan industri,” katanya. - DagangNews.com
standard


