Perdana Petroleum raih kontrak sedia kapal penginapan bernilai RM11.6 juta daripada Dayang

01/08/2025 - 10:08
Gambar/Perdana Petroleum Bhd Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 1 Ogos – Perdana Petroleum Bhd memperoleh kontrak menyediakan kapal penginapan bernilai kira-kira RM11.6 juta daripada pemegang saham utamanya, Dayang Enterprise Holdings Bhd, dalam satu langkah strategik memperkukuh sinergi kumpulan.
Kontrak tersebut, yang merupakan transaksi berulang pihak berkaitan, dianugerahkan pada 20 Mei kepada anak syarikat milik penuh Perdana Petroleum iaitu Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB).
Di bawah kontrak berkenaan, PNSB akan menyediakan kapal tersebut yang lengkap dengan kru dan peralatan bagi menyokong operasi pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir serta operasi penundaan dan pengendalian sauh secara 24 jam sehari.
Dayang ketika ini memiliki 64.07% kepentingan dalam Perdana Petroleum.
“Penyewaan kapal ini adalah sebahagian daripada pakatan strategik antara Kumpulan Dayang dan Kumpulan Perdana Petroleum yang membolehkan penggunaan kapal dimaksimumkan dan melayakkan syarikat untuk membida lebih banyak kerja penyelenggaraan luar pesisir,” kata Perdana Petroleum dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Tempoh kontrak adalah selama 130 hari bermula 16 Jun lalu, dengan pilihan lanjutan sehingga 60 hari. Projek ini akan dilaksanakan pada kadar pasaran dan terma komersial biasa yang tidak lebih menguntungkan kepada pihak berkaitan.
Kontrak ini dilihat sejajar dengan strategi Kumpulan untuk memanfaatkan aset dan keupayaan dalaman secara optimum, selain mengukuhkan kedudukan dalam pasaran perkhidmatan luar pesisir yang semakin kompetitif. - DagangNews.com
standard
