amree22/10/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt – Eonmetall Group Berhad bakal menuju ke fasa penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia dengan dagangan saham syarikat itu digantung mulai 4 November 2026, susulan pelaksanaan skim pengurangan dan pembayaran balik modal terpilih (SCR).
Langkah itu menandakan perkembangan penting bagi pemegang saham minoriti apabila mereka yang layak akan menerima bayaran tunai sebanyak 45 sen bagi setiap saham di bawah pelaksanaan SCR, sebelum syarikat dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, dagangan sahamnya di Pasaran Utama akan digantung bermula 9 pagi pada tarikh berkenaan dan kekal dalam keadaan itu sehingga proses penyahsenaraian selesai selepas pelaksanaan SCR.
"Sehubungan itu, para pelabur Eonmetall yang masih lagi memegang saham syarikat ketika ini perlu mengambil perhatian bahawa hari terakhir dagangan sebelum penggantungan ialah menjelang pukul 5 petang 3 November 2026," jelasnya.
Menurutnya, pemegang saham yang layak menerima bayaran tunai ialah semua pemegang saham selain Eonmetall Corporation Sdn Bhd dan Datuk Goh Cheng Huat, berdasarkan nama yang tercatat dalam rekod pendeposit atau daftar ahli syarikat pada 5 November 2026.
Ujarnya, bayaran sebanyak 45 sen bagi setiap saham itu akan dilaksanakan dalam tempoh 10 hari dari tarikh kelayakan. Pelaksanaan tersebut merupakan sebahagian daripada cadangan SCR di bawah Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.

Cadangan SCR berkenaan mendapat kelulusan pemegang saham melalui resolusi khas ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 3 Ogos 2026. Pelaksanaan diteruskan melalui proses berkaitan bagi membolehkan pengurangan modal dan pembayaran balik kepada pemegang saham yang layak.
Pada Mei 2026, Eonmetall mengumumkan bahawa pemegang saham utamanya, Eonmetall Corporation Sdn Bhd dan Cheng Huat, mengemukakan permintaan agar syarikat melaksanakan SCR. Harga tawaran asal sebanyak 40 sen sesaham kemudiannya dinaikkan kepada 45 sen sesaham pada Jun 2026.
Dengan penggantungan dagangan dan penyahsenaraian yang bakal menyusul, pemegang saham minoriti perlu memastikan pegangan mereka memenuhi syarat kelayakan pada tarikh yang ditetapkan bagi membolehkan bayaran balik modal diproses mengikut ketetapan syarikat.
Kumpulan tersebut berpangkalan di Kawasan Perusahaan Valdor, Sungai Bakap, Pulau Pinang, diperbadankan di Malaysia pada 16 Oktober 2003 di bawah nama Eoncap Corporation Sdn Bhd sebelum ditukar kepada syarikat awam pada April 2004 dengan nama Eonmetall Group Berhad sejak 15 April 2005.
Teras perniagaannya merangkumi pegangan pelaburan, pembuatan produk keluli termasuk gegelung keluli canai sejuk dan bergalvani, sistem penyimpanan keluli, jentera serta peralatan pemprosesan industri, selain penyediaan penyelesaian teknologi maklumat. - DagangNews.com


