Saham RedPlanet dibuka 27 sen pada penampilan sulung selepas berpindah ke Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham RedPlanet dibuka 27 sen pada penampilan sulung selepas berpindah ke Pasaran ACE Image from: Saham RedPlanet dibuka 27 sen pada penampilan sulung selepas berpindah ke Pasaran ACE amree22/10/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt – Saham RedPlanet Berhad mencuri perhatian pelabur apabila saham penyedia rumusan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu melonjak 42.11% pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, selepas berpindah daripada Pasaran LEAP.

 

Ia dibuka pada harga 27 sen sesaham, meningkat 8 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 19 sen sesaham, sebelum mencecah paras tertinggi 28.5 sen. Lebih 36 juta saham bertukar tangan setakat pukul 9.20 pagi, dengan permodalan pasaran sekitar RM106 juta.

 

Sebelum itu, IPO syarikat berkenaan menerima sambutan positif apabila terlebih langgan 85.28 kali. Sebanyak 7,031 permohonan diterima bagi 1.77 bilion saham yang dimohon oleh pelabur awam Malaysia, berbanding hanya 20.54 juta saham yang diperuntukkan untuk langganan awam.

 

Perkembangan tersebut membuka lembaran baharu bagi RedPlanet untuk memperluaskan akses kepada pasaran modal tempatan, meningkatkan kecairan saham dan mendapatkan sumber pembiayaan tambahan bagi menyertai projek ICT serta keselamatan rel berskala lebih besar.

 

IPO RedPlanet melibatkan terbitan 70 juta saham baharu serta tawaran jualan 10 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian. Pada harga IPO 19 sen sesaham, ia menyasarkan kutipan RM13.3 juta melalui terbitan saham baharu untuk menyokong pengembangan perniagaan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, keuntungan bersih RedPlanet meningkat 21.3% kepada RM6.33 juta daripada RM5.22 juta setahun sebelumnya. Hasil turut berkembang 22.3% kepada RM40.72 juta berbanding RM33.30 juta, mencerminkan pertumbuhan perniagaan kumpulan.

 

RedPlanet_DagangNews2026

 

Segmen rumusan geospatial menjadi penyumbang hasil terbesar sebanyak RM18.4 juta atau 45.1% daripada jumlah hasil. Segmen rumusan rel pintar menyumbang RM11.6 juta, manakala bagi rumusan ICT serta perdagangan perkakasan tambahan pula menjana RM10.8 juta.

 

Dari segi kedudukan kewangan, RedPlanet mempunyai baki tunai dan deposit tetap berjumlah RM13.8 juta berbanding pinjaman RM5.2 juta setakat 30 Jun 2026. UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO itu.

 

Kumpulan itu diperbadankan di Malaysia pada 22 April 2019 sebagai RedPlanet Sdn Bhd sebelum ditukar kepada syarikat awam pada 5 Disember 2019. Sejarah operasi kumpulan pula bermula pada 2014 melalui penubuhan RedPlanet Solutions (M) Sdn Bhd, yang memulakan operasi pada Januari 2016.

 

RedPlanet disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada 4 Ogos 2020. Perpindahan ke Pasaran ACE membolehkan syarikat mengakses platform pasaran yang lebih luas bagi menyokong pelbagai rancangan pertumbuhan dan penyertaan dalam projek bernilai lebih tinggi.

 

Berpangkalan di Kuala Lumpur, ia merupakan kumpulan rumusan ICT perusahaan yang memberi tumpuan kepada rumusan geospatial, sistem keselamatan rel pintar, penyelenggaraan dan sokongan ICT serta perdagangan perisian dan perkakasan berkaitan.

 

Melalui kepakaran tersebut, kumpulan menyasarkan peluang pertumbuhan dalam sektor utiliti, pengangkutan rel dan infrastruktur digital, termasuk projek naik taraf sistem keselamatan serta komunikasi rangkaian rel. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved