EP Blueshark mulakan pemasangan tempatan motosikal elektrik SoloEra 1C di Shah Alam

LocalTechnology
19 Aug 2025 • 4:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EP Blueshark mulakan pemasangan tempatan motosikal elektrik SoloEra 1C di Shah Alam

image is not available

19/08/2025 - 16:35

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos – EP Blueshark Sdn. Bhd telah memulakan operasi pemasangan tempatan motosikal elektrik SoloEra Solo 1C di kilang pengeluaran milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

EP Blueshark adalah anak syarikat bersama EPMB dan Blueshark Malaysia Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Blueshark Malaysia, Jeff Chong berkata, kilang tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran awal sebanyak 12,000 motosikal elektrik setahun dan ketika ini, pemasangan tempatan model berprestasi tinggi Solo 2 dan Solo 3 sedang dijalankan.

“Ini adalah detik bersejarah bagi Blueshark dan rakan kongsi kami apabila visi untuk menghasilkan motosikal elektrik mampu milik menjadi realiti.

“Bersama rakan strategik EPMB dan Petronas Dagangan Berhad, kami komited memperluas ekosistem ini di Malaysia dan menjadikan negara sebagai hab pengeluaran EV di ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen bersama EPMB dan Blueshark untuk menyokong Pelan Tindakan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) serta aspirasi Net Zero Malaysia.

Ia juga menonjolkan kekuatan perkongsian tersebut yang menggabungkan kepakaran pembuatan EPMB dengan teknologi EV Blueshark bagi memacu peralihan Malaysia ke arah mobiliti lestari.

Ia bukan sekadar menambah pilihan pengguna tetapi turut menekankan visi bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai hab strategik pengeluaran kenderaan elektrik dua roda (2WEV) di ASEAN.

Bagi meraikan pencapaian itu, satu lawatan tapak diadakan untuk pemegang taruh utama, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Malaysia Automotive Robotics & IoT Institute (MARii), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), dan wakil Blueshark.

image is not available

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri berkata, pencapaian itu adalah satu permulaan untuk membuka jalan bagi penggunaan 2WEV di Malaysia dan rantau ini.

“Pengeluaran besar-besaran kenderaan EV canggih oleh EPMB dengan kerjasama Blueshark akan menjadi pemangkin kepada pencapaian sasaran NETR dan sektor kenderaan elektrik negara,” katanya.

Dalam pada itu, CEO MARii, Azrul Reza Aziz pula berkata, pengeluaran Solo 1C membuktikan bagaimana pemain industri boleh memanfaatkan insentif nasional, seperti program rebat MARiiCas bersama inovasi teknologi agar ia lebih mudah dimiliki rakyat Malaysia.

“Apabila kos pemilikan menurun, kami menjangkakan penerimaan motosikal elektrik akan dipercepatkan,” katanya.

Setakat ini, Solo 1C menerima sambutan hangat daripada rakyat Malaysia dengan lebih 6,000 pendaftaran awal dalam tempoh lebih sebulan selepas promosi pra-pelancaran pada Julai.

image is not available

Dengan harga serendah RM599, kempen ini menjadikan Solo 1C antara motosikal elektrik paling mampu milik di pasaran.

Kejayaan ini disokong oleh kerjasama eksklusif dengan Mesra Rewards dan Setel, bersama inisiatif rebat EV MARiiCas oleh MARii, yang direka untuk mempercepat penerimaan motosikal elektrik di seluruh negara.

Melalui inisiatif ini, Blueshark Malaysia dan EPMB memudahkan pemilikan motosikal elektrik untuk pengguna harian.

Siri SoloEra direka untuk memudahkan peralihan daripada motosikal enjin pembakaran dalaman (ICE) ke elektrik, menyumbang secara langsung kepada sasaran kerajaan iaitu 20% kenderaan elektrik menjelang 2030. - DagangNews.com

standard