Malacca Securities mulakan liputan ke atas KJTS Group dengan saranan ‘beli’, TP RM1.90 sesaham

18/08/2025 - 11:34
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Ogos – Malacca Securities Sdn Bhd memulakan liputan ke atas KJTS Group Bhd dengan saranan beli serta harga sasaran (TP) RM1.90 sesaham, iaitu potensi kenaikan sebanyak 21.8 peratus berbanding harga semasa RM1.56.
Ditubuhkan pada 1984, KJTS adalah penyedia utama perkhidmatan sokongan bangunan bersepadu dengan kepakaran dalam sistem tenaga pendinginan berpusat berskala besar merangkumi projek baharu mahupun sedia ada.
Selain itu, syarikat tersebut turut terlibat dalam pengurusan fasiliti dan perkhidmatan pembersihan.
Malacca Securities menjangkakan pertumbuhan keuntungan kukuh KJTS dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 54.2 peratus antara tahun kewangan 2025 hingga 2027.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut disokong oleh kontrak baharu dalam segmen tenaga pendinginan dan pengambilalihan strategik Malakoff Utilities Sdn Bhd (MUSB) yang menambah aliran pendapatan berulang.
“Ia juga berdasarkan sokongan kerajaan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) serta lonjakan permintaan pusat data di Malaysia hasil pelaburan asing gergasi teknologi global.
“Sekitar 75% hasil KJTS disumbangkan daripada kontrak jangka panjang antara lima hingga 20 tahun yang memberi kepastian kepada pendapatan berulang.
“Model perniagaan unik syarikat yang menawarkan perbelanjaan modal (CapEx) awal dengan pulangan bayaran tetap sepanjang tempoh kontrak turut dianggap sebagai kelebihan daya saing dalam industri,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Selain itu, Malacca Securities berkata, pengambilalihan MUSB pula dijangka menjana pendapatan anuiti antara RM8 juta hingga RM10 juta setahun selepas kerja naik taraf dilakukan.
“Usaha sama dengan StonePeak pula memberi laluan kepada KJTS untuk melaksanakan projek berskala besar bernilai sehingga RM1.5 bilion.
“Hasrat Malaysia menjadi hab pusat data serantau turut mengukuhkan prospek pertumbuhan KJTS, dengan syarikat ini sudah memperoleh kontrak di Sedenak Tech Park dan Selangor.
“Dari segi kelestarian, KJTS dilihat sebagai proksi penting kepada agenda kecekapan tenaga global,” kata firma tersebut.
Antara 2017 hingga 2024, projek syarikat berjaya mengurangkan penggunaan elektrik sekitar 68,000 MWh dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 52,000 metrik tan.
Bagi tahun kewangan 2024, KJTS melaporkan pertumbuhan hasil 14.9% tahun ke tahun kepada RM137.8 juta dengan keuntungan bersih RM8.3 juta.
Keuntungan bersih dijangka melonjak kepada RM29.1 juta pada 2026, dipacu oleh pendapatan berulang dengan margin lebih tinggi.
Walaupun saham KJTS diniagakan pada penilaian premium iaitu 45 kali unjuran EPS tahun kewangan 2026, Malacca Securities menegaskan ia wajar berdasarkan trajektori pertumbuhan kukuh, kepastian pendapatan yang mantap serta kedudukan strategik syarikat dalam penyelesaian tenaga cekap. - DagangNews.com
standard
