Senheng lantik Lim Kim Heng sebagai Pengarah Urusan baharu, rombak pasukan kepimpinan

15/08/2025 - 11:55
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 15 Ogos – Peruncit barangan elektrik dan elektronik terkemuka negara, Senheng New Retail Berhad melantik Lim Kim Heng sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Senheng juga melakukan penyusunan semula pasukan kepimpinan bagi memacu 12 inisiatif utama syarikat tersebut.
Senheng berkata, pelantikan dan penyusunan semula itu adalah sebahagian daripada strategi pembaharuan organisasi yang memberi tumpuan kepada kelincahan operasi, pendigitalan, dan pengalaman pelanggan yang lebih bernilai, sekali gus memastikan daya saing Senheng kekal relevan dalam landskap runcit yang kian pantas berubah.
“Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengautomasikan proses berulang, meningkatkan kecekapan kos dan membolehkan pekerja memberi fokus kepada pelanggan.
“Usaha ini dibangunkan berlandaskan pelaburan lebih sedekad dalam infrastruktur seperti sistem Datalake dan New Retail Solution (NRS) 2.0, yang bakal mempercepatkan keputusan perniagaan dan mempertingkat mutu perkhidmatan,” kata Senheng dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Kim Heng berkata, syarikat itu turut mengukuhkan kehadirannya di platform digital seperti TikTok dan chat commerce bagi mendekati pelanggan baharu serta meningkatkan interaksi dua hala.
“Pelaburan dalam kandungan berkualiti juga akan dipertingkatkan untuk memenuhi harapan dan kepuasan pengguna era digital.
“Selain itu, penyusunan semula struktur organisasi ini diharap dapat mempercepatkan proses membuat keputusan, memperkukuh akauntabiliti serta memberi kuasa penuh kepada pengurusan bahagian dengan sokongan kerangka KPI yang jelas dan pemantauan prestasi,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 1989, Senheng telah berkembang menjadi rangkaian peruncit dengan lebih 100 cawangan di seluruh Malaysia, menawarkan lebih 280 jenama terkenal barangan elektrik dan elektronik, dengan lebih tiga juta ahli setia PlusOne. - DagangNews.com
standard

