EP Manufacturing terima kelulusan daripada MITI untuk hasilkan kenderaan cekap tenaga

Business & Finance
11 Jul 2023 • 9:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EP Manufacturing terima kelulusan daripada MITI untuk hasilkan kenderaan cekap tenaga

diyana

11/07/2023 - 09:39

KUALA LUMPUR 11 Julai - EP Manufacturing Bhd telah menerima kelulusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mengeluarkan dan memasang kenderaan cekap tenaga (EEV), kenderaan penumpang elektrik dan kenderaan komersial elektrik di Malaysia.

Kumpulan automotif itu berkata kelulusan bersyarat itu akan membolehkan anak syarikatnya, Peps-JV (Melaka) Sdn Bhd (PJVM) menubuhkan kilang pembuatan bagi mengeluarkan kenderaan tersebut dan produk berkaitan yang lain.

“Pengembangan ini akan membuka peluang perniagaan baharu untuk hasil dan pertumbuhan perniagaan, sambil menyelaraskan perniagaan dengan inisiatif kemampanan,” kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Kumpulan itu berkata syarat kelulusan tertakluk untuk dipenuhi oleh PJVM dalam tempoh enam bulan.

Pada 8 Mac, PJVM telah menandatangani perjanjian dengan CIS Pride Silver Rock Fund dan Sharkgulf Technologies Group Ltd untuk meneroka perniagaan kenderaan elektrik (EV), di mana CIS merupakan pembiaya utama untuk usaha niaga baharu itu.

CIS, yang diperbadankan di Kepulauan Cayman, ialah dana pelaburan yang diuruskan oleh Silver Rock Capital Ltd, Realchamp Asset Management Ltd dan The Pride Group Ltd.

Sharkgulf ialah sebuah syarikat berpangkalan di China yang mengeluarkan jenama Blueshark EV beroda dua.

EP Manufacturing juga berkata ia akan mewujudkan kemudahan pembuatan serta pusat jualan dan pengedaran EV beroda dua jenama Blueshark di Malaysia.

Kumpulan itu juga akan menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan yang menyediakan kepakaran teknikal dan sumber kepada Sharkgulf.

Pada waktu penulisan, saham EP Manufacturing didagangkan pada 85 sen, menokok 14 sen atau 19.7%, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM187.2 juta. - DagangNews.com