Epic Games ialah sebuah nama pembangun teknologi permainan video yang cukup terkenal bukan sahaja di arena permainan komputer, tetapi juga di platform peranti pintar. Untuk beberapa tahun lamanya, mereka telah “berperang” dengan Apple dan Google di mahkamah untuk mendapatkan hak keuntungan yang lebih setara untuk pembangun permua.
Terkini, Epic Games telah membuat pengumuman tentang beberapa perkara. Pertama, ialah permua Fortnite untuk iOS akan kembali khususnya utuk pasaran Kesatuan Eropah melalui AltStore, manakala aplikasi Epic Games Store yang sebelum ini dilihat hanya hadir untuk PC akan diperkenalkan pada platform Android secara global dan iOS di pasaran Kesatuan Eropah.

Untuk platform-platform ini, ia dilaporkan bahawa pembangun hanya akan membayar Epic Games yuran gedung 12 peratus untuk semua pembayaran yang diproses oleh mereka, dan pembangun akan menyimpan 100 peratus daripada pembayaran yang dilakukan melalui platform pembayaran parti ketiga.
Isu potongan bayaran merupakan salah satu isu terbesar yang diketengahkan oleh Epic Games kerana Apple dan Google mengambil potongan pendapatan yang terlalu tinggi (30% selepas $1 juta pertama untuk Android, 30 peratus oleh Apple) dan menyukarkan pihak pembangun untuk membuat wang daripada hasil kerja mereka.
Dalam pada itu, Epic Games juga mengesahkan bahawa permainan-permainan mereka akan meninggalkan Samsung Store tidak lama lagi kerana Samsung kini menghalang pemasangan APK manual secara lalai, dan juga penemuan baru tentang bagaimana Google dan Samsung dilihat bersekongkol dalam pemasaran aplikasi untuk platform Android dengan menghalang gedung parti ketiga.
Epic Games masih belum memberi butiran lanjut tentang bilakah mereka akan memperkenalkan aplikasi Epic Games Store mereka, tetapi mereka akan membuat pengumuman tambahan mengenainya kelak.
