EPIC teroka pembangunan pangkalan minyak dan gas di Timor-Leste

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 1:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EPIC teroka pembangunan pangkalan minyak dan gas di Timor-Leste Image from: EPIC teroka pembangunan pangkalan minyak dan gas di Timor-Leste liza25/09/2026 - 13:49 Muhtar (depan, kiri) bersama Rui Soares (depan, kanan) ketika memeterai MoU antara EPIC dan Timor Gap di Dili - Gambar EPIC Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Sept – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) akan berkongsi kepakaran teknikal dan operasi dengan syarikat minyak dan gas nasional Timor-Leste, Timor GAP bagi meneroka pembangunan Pangkalan Bekalan Suai (SSB) untuk menyokong aktiviti minyak dan gas di negara itu.

 

SSB akan dibangunkan sebagai pangkalan logistik dan marin yang menyokong operasi minyak dan gas di darat serta luar pesisir, termasuk di Laut Timor.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara EPIC Berhad dan Timor GAP di Dili, Timor-Leste, yang menyediakan rangka kerja untuk kedua-dua pihak meneroka pembangunan kemudahan berkenaan.

 

EPIC Berhad akan menyumbangkan pengalaman dan kepakaran dalam operasi pangkalan bekalan dan sokongan minyak dan gas, selain meneroka pertukaran pengetahuan serta peluang pelaburan strategik dengan Timor GAP.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts Muhtar Suhaili berkata, kerjasama itu mencerminkan keupayaan EPIC Berhad sebagai penyedia penyelesaian minyak dan gas Malaysia untuk membawa pengalaman dan kepakarannya ke pasaran antarabangsa.

 

Pangkalan sokong industri petroleum

SSB dirancang mempunyai fungsi hampir sama dengan Pangkalan Bekalan Kemaman yang dikendalikan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd, anak syarikat EPIC Berhad.

 

Kemudahan itu akan berperanan sebagai pusat logistik dan perkhidmatan bagi industri petroleum Timor-Leste, termasuk menyokong aktiviti minyak dan gas di darat serta luar pesisir.

 

Antara kemudahan yang dijangka disediakan ialah kemudahan fabrikasi, kawasan penyimpanan terbuka, pangkalan mini pantai, gudang serta sumber manusia untuk menyokong aktiviti industri.

 

t

 

Muhtar berkata EPIC Berhad mempunyai pengalaman merentasi rantaian nilai huluan dan hiliran industri minyak dan gas yang boleh dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan infrastruktur minyak dan gas Timor-Leste.

 

“Selain operasi pangkalan bekalan dan sokongan minyak dan gas, pengalaman EPIC Berhad turut merangkumi pengurusan pelabuhan, perkhidmatan marin serta tenaga boleh baharu.

 

“Kerjasama ini selari dengan strategi pertumbuhan EPIC Berhad untuk memperluas kehadiran antarabangsa serta membuka peluang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan keupayaan industri Malaysia dan Timor-Leste,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Teroka peluang kerjasama 

Pada majlis pemeteraian tersebut, EPIC Berhad diwakili Muhtar serta Pengurus Besar Kanan Bekalan dan Pangkalan Sokongan, Syed Abdullah Syed Omar.

 

Timor GAP pula diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rui Soares serta Naib Presiden Pembangunan Infrastruktur, Alexandre Cristovão.

 

Majlis itu turut disaksikan Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor-Leste, H.E. Francisco da Costa Monteiro; Ketua Pegawai Eksekutif Weststar-GAP Aviation LDA, Datuk Anuar Noordin; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

 

Susulan pemeteraian MoU itu, EPIC Berhad dan Timor GAP akan meneroka peluang untuk mengukuhkan kerjasama melalui pertukaran kepakaran dan kemungkinan pelaburan strategik.

 

Kerjasama itu dijangka menyediakan platform kepada kedua-dua pihak untuk meneroka peluang perniagaan yang memberi manfaat bersama serta menyokong pembangunan industri minyak dan gas Timor-Leste. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved