Pertikaian susunan kes PETRONAS-Sarawak: Mahkamah tentukan pada 1 Oktober

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 12:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertikaian susunan kes PETRONAS-Sarawak: Mahkamah tentukan pada 1 Oktober Image from: Pertikaian susunan kes PETRONAS-Sarawak: Mahkamah tentukan pada 1 Oktober liza24/09/2026 - 12:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept – Kerajaan Sarawak dan PETRONAS mahu kes berhubung bidang kuasa serta hak minyak dan gas di Sarawak didengar secara berasingan di Mahkamah Persekutuan.

 

Bagaimanapun, kedua-dua pihak masih tidak bersetuju mengenai kes siapa yang perlu didengar terlebih dahulu dengan prosiding utama dijadualkan secara tentatif selama seminggu bermula 25 Januari 2027.

 

Perkara itu dibincangkan dalam pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang, pada Khamis.

 

Mahkamah menetapkan 1 Oktober 2026 untuk menentukan susunan pendengaran kedua-dua petisyen serta beberapa isu awal yang perlu diputuskan sebelum kes utama didengar.

 

PETRONAS mahu kesnya didengar dahulu

Peguam PETRONAS, Datuk Dr Cyrus Das berkata, kedua-dua pihak kini telah mengecilkan pertikaian kepada sekitar 10 hingga 11 isu untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.

 

Menurut beliau, kedua-dua petisyen itu difailkan secara berasingan dan tidak digabungkan, lapor The Edge.

 

PETRONAS mahu kesnya didengar dahulu kerana syarikat itu memfailkan petisyen pada 10 Januari 2026, manakala kebenaran untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan diberikan pada 16 Mac 2026.

 

Kerajaan Sarawak pula memfailkan petisyennya pada 23 Februari 2026.

 

Pada mulanya, Sarawak tidak membantah sekiranya kedua-dua kes didengar bersama. Namun, negeri itu kini mahu petisyennya didengar terlebih dahulu.

 

Sarawak mahu isu sempadan diputuskan dahulu

Peguam kanan negeri Sarawak, Mohd Adzrul Adzlan berkata kerajaan negeri mahu mahkamah menentukan terlebih dahulu pengesahan Perintah Dalam Majlis 1954 (Order in Council 1954) yang berkaitan dengan sempadan Sarawak dan Sabah.

 

Isu berkenaan penting dalam pertikaian Sarawak dan PETRONAS kerana ia berkait dengan persoalan bidang kuasa terhadap sumber minyak dan gas di negeri itu.

 

PETRONAS difahamkan membantah permintaan Sarawak supaya isu berkenaan diputuskan terlebih dahulu.

 

Rhodzariah berkata, memandangkan tarikh pendengaran utama pada Januari 2027 masih jauh, kedua-dua pihak masih mempunyai masa untuk berbincang dan mencapai persetujuan mengenai susunan pendengaran.

 

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 1 Oktober untuk pengurusan kes bagi menentukan pihak yang akan membentangkan kes terlebih dahulu serta menyelesaikan perkara awal lain.

 

Kedua-dua pihak cabar undang-undang masing-masing

Petisyen PETRONAS mempersoalkan pemakaian beberapa undang-undang Sarawak terhadap operasinya, termasuk Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 dan Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958.

 

Sebaliknya, kerajaan Sarawak mencabar tiga undang-undang Persekutuan berkaitan petroleum, iaitu Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.

 

Secara ringkasnya, PETRONAS mahu mahkamah menentukan sama ada undang-undang Sarawak tertentu boleh digunakan terhadap operasinya, manakala Sarawak pula mahu mahkamah menentukan kesahan undang-undang Persekutuan yang berkaitan dengan hak dan bidang kuasa petroleum.

 

Pertikaian itu merupakan antara pertikaian perlembagaan penting antara Sarawak dan PETRONAS berhubung bidang kuasa serta hak minyak dan gas di negeri berkenaan, sejak penubuhan Petroleum Sarawak Bhd bagi mengurus sumber tersebut.

 

Dalam kes PETRONAS, syarikat itu menamakan kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan sebagai responden, manakala dalam kes Sarawak, PETRONAS dan kerajaan Persekutuan dinamakan sebagai responden.

 

Kedua-dua petisyen itu bagaimanapun telah dibincangkan bersama dalam pengurusan kes pada Khamis di hadapan Rhodzariah.

 

PETRONAS diwakili Das bersama Khoo Guan Huat, Datuk Azian Abd Aziz, Grace Teoh Wei Shan, Ahmad Faiz Razali, Khoo Yuan Ping dan Alex Ngu.

 

Kerajaan Sarawak pula diwakili Mohd Adzrul, peguam negeri Richard Tie Sing Wan dan Felicity Sharmela Thomas, manakala kerajaan Persekutuan diwakili peguam kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi serta peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman.

 

Pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak dijadualkan berlaku lewat tahun ini bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri. 

 

Pilihan raya itu banyak diperkatakan akan diadakan pada November, namun tarikh rasmi masih belum diumumkan setakat ini. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved