EPL: Arsenal belum pamer kualiti sebenar

FootballSports
14 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: EPL: Arsenal belum pamer kualiti sebenar

LONDON – Sembilan hari sebelum Liga Perdana Inggeris (EPL) membuka tirai, Arsenal masih belum menunjukkan taring sebenar mereka apabila hanya mampu melakar keputusan seri 1-1 dengan Como dalam aksi terakhir pramusim, sekali gus memberi amaran awal kepada pengendalinya, Mikel Arteta.

The Gunners dilihat masih bergelut mencari rentak terbaik selepas persiapan mereka sebelum ini terjejas susulan kepulangan lewat beberapa tonggak utama daripada tugasan Piala Dunia.

Lebih merisaukan, dua pemain utama, Bukayo Saka dan Declan Rice masih belum beraksi seminit pun sepanjang aksi pramusim selepas baru kembali menjalani latihan minggu ini, menyebabkan Arsenal perlu berhati-hati menguruskan tahap kecergasan mereka.

Kekurangan pilihan turut memaksa Arteta mempertaruhkan pemain berusia 18 tahun, Theo Julienne dalam kesebelasan utama, manakala beberapa tonggak termasuk Eberechi Eze, Viktor Gyokeres, Kai Havertz dan Gabriel Jesus hanya diberikan minit permainan terhad.

Bagaimanapun, pemain muda, Myles Lewis-Skelly memberikan perkembangan positif apabila mempamerkan aksi meyakinkan di bahagian tengah selain meledak gol pembukaan Arsenal selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Como, Jean Butez.

Pemain berusia 19 tahun itu yang dikaitkan dengan Chelsea dan Manchester United sejak kebelakangan ini turut menunjukkan keserasian bersama Eze, selain lebih kemas ketika beraksi dalam peranan pemain tengah bertahan.

Dalam pada itu, Bruno Guimaraes yang diturunkan pada babak kedua susulan perpindahan £75 juta (RM413 juta) dari Newcastle United turut mencuri perhatian menerusi aksi bertenaga di bahagian tengah.

Arteta mengakui Guimaraes masih memerlukan masa selepas hanya menjalani tiga sesi latihan, namun yakin pemain Brazil itu mampu memberikan impak besar kepada pasukan.

“Dia baru menjalani tiga sesi latihan, tetapi dia kelihatan bagus. Anda dapat rasakan serta-merta hubungan yang sangat kuat dan dia adalah pemain yang pasti akan menjadikan kami lebih baik,” katanya.

Arsenal kini perlu segera meningkatkan kecergasan dan ketajaman pasukan apabila berdepan Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti hujung minggu ini sebelum membuka kempen EPL menentang Coventry pada 22 Ogos. – AGENSI

The post EPL: Arsenal belum pamer kualiti sebenar appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved