
LONDON – Arsenal mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi pramusim selepas tewas 2-3 kepada Borussia Dortmund pada saingan Piala Emirates yang berlangsung di Stadium Emirates malam kelmarin.
Walaupun menampilkan aksi lebih baik, namun The Gunners terpaksa ‘berputih mata’ apabila Dortmund meledak tiga gol menerusi Samuele Inacio, Konstantinos Karetsas dan Joane Gadou manakala gol Arsenal dijaringkan Ethan Nwaneri dan Viktor Gyokeres.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa peminat-peminat pasukan itu supaya tidak mudah melatah atas kekalahan tersebut kerana beliau masih berada dalam fasa untuk mengesan dan memperbaiki kelemahan.
“Mereka (peminat) tidak perlu untuk berasa bimbang setiap kali pasukan tewas dalam mana-mana perlawanan. Memang sangat mengecewakan apabila tewas, tetapi kami tahu apa yang perlu diperbaiki.
“Selain itu, ramai pemain utama masih belum kembali ke pasukan selain ada beberapa pemain kurang minit permainan. Jadi, inilah masa paling sesuai untuk saya berikan mereka peluang bermain,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga mengesahkan dua tonggak pertahanan, Jurrien Timber dan William Saliba akan diketepikan buat seketika kerana kedua-dua pemain itu masih belum pulih daripada kecederaan.
“Saya tidak boleh berikan tarikh yang tepat bila mereka akan kembali dan mungkin memerlukan sedikit masa untuk pulih sepenuhnya. Buat masa ini, Jurrien dan William menunjukkan progres yang sangat baik,” ujar Arteta. – AGENSI
The post EPL: Arteta gesa peminat jangan panik appeared first on Kosmo Digital.



