Maresca puji impak Semenyo, Marmoush

FootballSports
11 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Maresca puji impak Semenyo, Marmoush

SEOUL: Pengurus Manchester City, Enzo Maresca memuji impak Antoine Semenyo dan Omar Marmoush selepas membantu The Citizens bangkit menewaskan Atletico Madrid 3-1 dalam aksi pramusim di Stadium Piala Dunia Seoul, Korea Selatan, semalam.

City yang ketinggalan 0-1 pada babak pertama tampil lebih bertenaga selepas rehat apabila Marmoush meledak dua gol dalam tempoh hanya tiga minit sebelum Rayan Ait-Nouri melengkapkan kemenangan menerusi jaringan pada masa kecederaan.

Maresca menganggap pertemuan dengan Atletico sebagai ujian penting buat skuadnya sebelum mereka memulakan kempen sebenar, selain memuji kesungguhan pemain selepas mengharungi tiga aksi sepanjang jelajah Asia.

“Secara keseluruhan, ia ujian yang sangat baik menentang salah satu pasukan terbaik di Eropah. Kredit kepada pemain atas usaha yang mereka lakukan. Mulai esok, pramusim sudah berakhir dan urusan sebenar bermula,” katanya.

City menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta lebih banyak peluang, namun Atletico terlebih dahulu membuka jaringan apabila Jorge Dominguez menyambar bola dari jarak dekat sebelum tamat babak pertama.

Bagaimanapun, Semenyo menjadi pencetus kebangkitan City apabila melakukan larian pantas di sebelah kiri sebelum menghantar hantaran lintang rendah untuk disudahkan Marmoush pada minit ke-57.

Dua minit kemudian, gandingan sama sekali lagi menghasilkan jaringan apabila Semenyo menghantar hantaran rendah yang disambut Marmoush untuk gol kedua, sekali gus meletakkan City di depan 2-1.

Semenyo menamatkan jelajah Asia dengan empat bantuan gol daripada tiga perlawanan, manakala Savinho turut menyerlah di bahagian sayap bertentangan sebelum Ait-Nouri memastikan kemenangan City menerusi gol pada masa kecederaan.

Maresca bagaimanapun mengakui City masih perlu lebih klinikal di depan gol, namun menyifatkan dua jaringan Marmoush sebagai suntikan keyakinan buat pasukannya, terutama dengan Erling Haaland bakal kembali menjadi pilihan utama.

“Kami perlu lebih klinikal. Itu sesuatu yang perlu kami perbaiki. Perlahan-lahan kami semakin baik dan dengan adanya Erling, kami boleh menjadi lebih berbahaya. Hari ini Omar menjaringkan dua gol dan itu satu rangsangan,” katanya.

City kini mengalihkan fokus kepada aksi Community Shield menentang Arsenal pada 16 Ogos ini.-AGENSI

The post Maresca puji impak Semenyo, Marmoush appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved