
LONDON – Pemilik bersama Chelsea, Todd Boehly dan Mark Walter sedang mempertimbangkan untuk menjual pegangan saham minoriti mereka kepada pemilik majoriti kelab, Clearlake Capital.
Boehly dan Walter merupakan antara pelabur yang bergabung dengan Clearlake bagi mengambil alih Chelsea daripada Roman Abramovich dengan nilai £2.5 bilion (RM14.1 bilion) pada Mei 2022.
Ketika ini, Clearlake menguasai kira-kira 61.5 peratus saham Chelsea menerusi pengasasnya, Behdad Eghbali dan Jose E. Feliciano, manakala Boehly, Walter serta Hansjorg Wyss mengawal baki 38 peratus melalui Blueco Holdings.
Bagaimanapun, hubungan antara kedua-dua kelompok pemilik itu dilaporkan semakin tegang sejak kebelakangan ini, malah mereka dikatakan sudah beberapa kali cuba untuk membeli pegangan satu sama lain dalam tempoh dua tahun lalu.
Boehly dilaporkan tidak berpuas hati dengan hala tuju kelab, terutama berkaitan strategi pengambilan pemain, perubahan jurulatih serta rancangan pembinaan stadium baharu.
Menurut laporan tempatan, Boehly dan Walter dipercayai meletakkan nilai pegangan mereka berdasarkan penilaian Chelsea sekitar £5 bilion (RM28.3 bilion).
Boehly dan Walter sebelum ini turut mempunyai hubungan perniagaan rapat di luar bola sepak apabila mereka bersama-sama mempunyai pelaburan dalam pasukan besbol, Los Angeles Dodgers serta pasukan bola keranjang wanita, LA Sparks.
Difahamkan, Eghbali menjadi figura paling berpengaruh dalam pengurusan Chelsea, termasuk memainkan peranan besar dalam urusan perpindahan pemain sejak 2023 sehingga menyaksikan hubungan dengan Boehly semakin renggang.
Namun, beberapa sumber dalaman Chelsea dan kumpulan pemilik cuba meredakan spekulasi mengenai perpecahan dengan menegaskan hubungan Boehly dan Eghbali masih baik. – AGENSI
The post EPL: Blueco sedia jual saham Chelsea appeared first on Kosmo Digital.


