
MANCHESTER – Masa depan Michael Carrick bersama Manchester United kini berada di hujung tanduk selepas kekalahan memalukan 0-3 kepada Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.
Lebih malang, kekalahan di Old Trafford itu hadir selepas United dibelasah 1-4 oleh Como pada Rabu lalu, sekali gus memanjangkan rekod tanpa kemenangan mereka kepada sembilan perlawanan.
Carrick yang berdepan tekanan hebat mengakui nasibnya kini bukan lagi dalam kawalannya, ketika pengurusan kelab dilaporkan sudah meneliti calon pengganti.
“Saya memahami situasi ini sepenuhnya dan saya jujur, saya tidak mengharapkan apa-apa yang positif.
“Namun, saya akan terus menjalankan tugas seperti biasa kerana saya sayang kelab ini. Saya sentiasa melakukan apa yang saya fikir terbaik untuk United, tidak kira apa juga keputusan yang dibuat,” katanya.
Keputusan Carrick merehatkan kapten Bruno Fernandes turut menjadi perhatian selepas United gagal memberikan tentangan yang diharapkan di atas padang.
Walaupun prestasi pasukan terus merosot, Carrick menerima tepukan daripada penyokong ketika meninggalkan padang selepas wisel penamat dan mengakui penghargaan penyokong itu menyentuh perasaannya.
“Perasaan saya bercampur-baur. Saya tidak menjangkakan reaksi sebegitu daripada penyokong, tetapi sokongan dan hubungan yang saya rasakan daripada mereka selama ini amat bermakna,” katanya.
Difahamkan, pengurusan United dilaporkan sedang menilai beberapa calon interim bagi menggantikan Carrick seperti bekas pengendali Newcastle United, Eddie Howe dan bekas jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann yang bergelar ejen bebas. – AGENSI
The post EPL: Carrick akui jodoh dengan Man. United semakin samar appeared first on Kosmo Online.



