
LONDON – Pengurus Chelsea, Xabi Alonso mengambil pendekatan ‘menutup telinga’ berhubung kecaman dilontarkan kepada pasukan itu yang disifatkan lebih gemar menerapkan corak permainan bertahan.
Bekas pengendali Real Madrid itu tidak mahu kecaman tersebut menjejaskan motivasi serta moral barisan pemainnya menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal di Stadium Emirates malam ini.
Alonso berkata, beliau langsung tidak memberikan perhatian mengenai peratusan penguasaan bola kerana fokus The Blues adalah untuk mencipta peluang jaringan dan membawa pulang tiga mata penuh.
“Dalam mana-mana perlawanan, sentiasa ada statistik di mana anda semua boleh melihat penguasaan bola, percubaan dan sebagainya. Kadang-kadang, ada juga pasukan yang memegang bola terlalu banyak bergelut untuk menjaringkan gol.
“Setakat dua perlawanan awal, kami berjaya catat kemenangan walaupun ia masih boleh diperbaiki. Memang kami mahu menampilkan aksi lebih baik, tetapi saya tetap gembira selagi kami menang,” katanya.
Terdahulu, The Blues berdepan kritikan apabila hanya memegang 26 peratus penguasaan bola ketika mencatat kemenangan 4-3 ke atas Brighton pada aksi Liga Perdana di Stamford Bridge minggu lalu.
Mengulas mengenai situasi bahagian tengah pasukan itu yang semakin meruncing, Alonso percaya ramai pemain mampu mengisi posisi tersebut selain berharap Moises Caicedo sempat pulih sebelum aksi menentang Arsenal.
“Kami ada ramai pemain berkualiti yang boleh bermain di tengah seperti Reece (James), Valentin (Barco) dan Romeo (Lavia). Apa yang penting sekarang adalah untuk mendapatkan kestabilan di semua posisi,” ujarnya. – AGENSI
The post EPL: Chelsea hanya fokus untuk buru tiga mata appeared first on Kosmo Digital.



